Pageviews

Selasa, 10 November 2020

Mengatasi Sifat Mazmumah....

24 RABIUL AWWAL 1442H
10 November 2020M

Ibadah sebanyak mana pun, tidak ada nilai di sisi Allah Taala, kalau mazmumah masih bersarang di dalam hati. Sedikit ibadah pun tidak mengapa, asalkan yang fardhu tidak ditinggalkan, tapi mazmumah dapat disembuhkan. 

Mazmumah itulah yang memudharatkan diri dan orang kerana nafsu yang belum terdidik. Nafsu yang belum terdidik, mazmumahlah yang menguasai diri seseorang. Apalah erti ibadah kalau mazmumah masih bermaharajalela merosakkan orang. Ibadah banyak, masih lagi pemarah, hasad, demdam, tamak, sombong, riyak, ujub, cinta dunia, ingin nama, glamor.  


Tujuan ibadah adalah untuk mengubat penyakit batin yang memusnah. Ibadah yang di hayati, boleh mendidik nafsu yang liar yang menjadi bala bencana kepada dunia. Ibarat penyakit makan berbagai-bagai jenis ubat tapi tidak menghilangkan penyakit. 

Tujuan makan ubat untuk menghilangkan penyakit badan. Begitulah ibadah yang berbagai-bagai jenis untuk mengubat mazmumah nafsu yang ganas. Ibadah dibuat nafsu masih berpenyakit, ibadah tidak ada nilai di sisi Allah. Itulah lumrah berlaku di zaman ini. 

Di dalam mengerjakan ibadah, mazmumah masih mengganas. Kerana itulah kita tidak hairan, adakalanya, di masjid itulah sumber kejahatan. Kerana orang yang bersembahyang, masih membawa penyakit batin, yang memecah-belahkan perpaduan. Orang yang bersembahyang merenggangkan persaudaraan Akibatnya umat Islam sudah tidak dihormati orang. 

Walaupun ilmu tinggi seorang ulama boleh maki hamun, sumpah seranah dan membuat tuduhan fitnah dan merosakkan ukuwah di kalangan umat islam.

Mujahadatunnafsi (mujahadah melawan nafsu)  terhadap mazmumah kita kepada manusia seperti hasad, dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, gila pangkat, tamak, bakhil, sombong dan lain-lain boleh dilakukan dengan cara menentang sifat-sifat itu.

Di sini huraikan cara-cara mujahadah terhadap penyakit hasad, dengki, pemarah dan gila dunia serta terhadap sifat-sifat mazmumah.

Dalam usaha melawan nafsu itu kita dikehendaki menempuh tiga peringkat:

1. Takhalli – Mengosongkan atau membuangkan atau mensunyikan.

2. Tahalli – Mengisi atau menghiasi.

3. Tajalli – Terasa kebesaran dan kehebatan Allah

TAKHALLI

Diperingkat takhalli kita mesti melawan dan membuang terus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah dan dilarang Allah SWT. Selagi kita tidak mahu membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh daripada diri kita, maka nafsu itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita. Sabda Rasulullah SAW: Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau. (Hadis Riwayat Al Baihaqi)

Kerana kejahatannya itu telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk, ber-tuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya yg bermaksud : "Apakah tidak engkau perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan lalu dia disesatkan Allah". (Surah Al Jaathiah ayat 23)

Apabila nafsu dibiarkan menguasai hati, iman tidak ada tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah Tuhan yang sebenar- benarnya tetapi menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dianggap ringan. Ia adalah salah satu jihad yang besar.

Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan boleh pula kita pegang, jadi senanglah kita picit dan membunuh- nya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada di dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh kita. Kerana itu tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan untuk diperalatkan semahu-mahunya. Seseorang yang dapat mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah seterusnya hingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan kepada perintah Allah. Untuk lebih jelas biar saya senaraikan akan peringkat-peringkat nafsu manusia sepertimana iman itu sendiri berperingkat-peringkat.

Di sini disenaraikan dari peringkat yang serendah-rendahnya iaitu nafsu amarah, nafsu lauwamah, nafsu mulhamah, nafsu mutmainnah, nafsu radhiah, nafsu mardhiah dan nafsu kamilah. Kita yang beriman ilmu ini baru berada di taraf nafsu yang kedua yakni nafsu lauwamah. 

Kita mesti berjuang melawan nafsu itu hingga dia mahu tunduk sepenuhnya kepada perintah Allah supaya mencapai paling minima nafsu mulhamah dan nafsu mutmainnah, yakni yang ada pada diri seseorang yang memiliki iman ayan. Di ‘peringkat iman inilah sahaja kita akan dapat menyelamatkan diri daripada siksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dalam firman-Nya: Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah) kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.(Surah Al Fajr ayat 27-30)

Nafsu jahat dapat dikenali melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Dalam ilmu tasawuf, nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah.Di antara sifat-sifat mazmumah itu ialah sum’ah, riyak, ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak cakap, banyak makan, dan mengumpat. 

Sifat-sifat ini melekat pada hati sepertilah daki melekat di badan. Kalau kita malas menggosok akan tambah menebal dan kuatlah ia bertapak. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan kuat menggosoknya maka akan bersihlah hati dan sucilah jiwa.

Bagaimanapun membuang sifat mazmumah dari hati tidaklah sesenang membuang daki di badan. Ia memerlukan latihan jiwa yang sungguh-sungguh, didikan yang berterusan dan tunjuk ajar yang berkesan daripada guru yang bertakwa.

Nasib kita hari ini umpama nasib anak-anak ayam yang kehilangan ibu. Tiada yang akan memandu kita melalui jalan kebaikan yang ingin kita tempuhi. Meraba-rabalah kita. Tetapi bagi orang yang mempunyai keazaman yang kuat untuk membersihkan jiwanya, ia tidak akan kecewa kerana tiada orang yang boleh mendidik dan memimpinnya. Ia akan sanggup berusaha sendiri demi kesempurnaan diri dan hidupnya sendiri.

2. TAHALLI

Tahalli bererti menghiasi yakni perkataan lawan bagi takhalli. Sesudah kita mujahadah yakni mengosong- kan hati daripada sifat terkeji atau mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Untuk mudah difahami cuba kita gambarkan hati kita sebagai sebuah mangkuk. Selama ini mangkuk itu berisi sifat-sifat mazmumah. Setelah kita mujahadah maka sifat itu keluar meninggalkan mangkuk kosong. Waktu itulah kita masukkan ke dalam mangkuk itu sifat mahmudah.Di antara sifat-sifat mahmudah yang patut menghiasi hati kita ialah jujur, ikhlas, tawadhuk, amanah, taubat, bersangka baik, takutkan Allah, pemaaf, pemurah, syukur, zuhud, tolak ansur, redha, sabar, rajin, berani, lapang dada, lemah lembut, kasihsayang sesama mukmin, selalu ingatkan mati dan tawakal. Untuk menghiasi hati dengan sifat mahmudahkita perlu sekali mujahadah.

Ditegaskan sekali lagi bahawa dalam peringkat mujahadah kita masih terasa berat dan susah. Maknanya belum ada ketenangan dan kelazatan yang sebenarnya. Insya Allah kalau kita sungguh-sungguh, lama kelamaan bila ia sebati dengan hati akan terasalah lazatnya. Cara-cara mujahadah dalam tahalli samalah seperti kita mujahadah untuk takhalli. Misalnya kita mahu mengisi hati dengan sifat pemurah, maka kita mujahadah dengan mengeluarkan harta atau barang kita terutama yang kita suka dan sayang untuk diberikan kepada yang memerlukan.

Mulanya tentu terasa berat dan payah tetapi janganlah menyerah. Kita lawan. Ingatkan hati bagaimana orang-orang muqarrobin berebut-rebut untuk dapat pahala sedekah. Sayidatina Aishah r.a di waktu tiada apa-apa untuk dimakan, beliau cuba untuk mendapatkan hanya sebelah kurma untuk disedekahkan. Begitu inginnya mereka pada pahala dan rindunya kepada Syurga. Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah SWT: Siapakah yang mahu meminjam- kan kepada Allah pinjaman yang baik nanti Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.(Surah Al Hadid ayat 11)

Setiap kali kita rasa sayang pada harta kita setiap kali itu pula kita keluarkannya. Insya Allah lama ke- lamaan kita akan memiliki sifat pemurah. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain seperti kasih sayang, berani, tawadhuk, pemaaf, zuhud dan semua sifat-sifat mahmudah yang lain perlulah kita miliki dan untuk itu kenalah mujahadah. Jika tidak iman juga turut tiada sebab iman berdiri di atas sifat-sifat mahmudah.

3. TAJALLI

Sebagai hasil mujahadah dalam takhalli dan tahalli kita memperolehi tajalli iaitu sejenis perasaan yang datang sendiri tanpa memerlukan usaha lagi.Agak sukar untuk ditulis apa itu tajalli sebenarnya sebab ia hanyalah sejenis perasaan (zauk) yang hanya mungkin dimengertikan oleh orang-orang yang merasainya. Sepertilah kemanisan gula, tidak dapat digambarkan dengan tepat kecuali dengan merasai sendiri gula itu.

Tajalli secara ringkas ialah perasaan lapang, tenang dan bahagia. Hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kehebatan Allah.Ingatan dan rindu penuh tertuju pada Allah. Harapan dan pergantungan tiada pada yang lain lagi selain daripada Allah. Seluruh amal bakti adalah kerana dan untuk Allah semata-mata. Apa sahaja masalah hidup, dihadapi dengan tenang dan baha- gia. Tiada apa pun kesusahan dalam hidupnya sebab semua itu dirasakan pemberian daripada kekasihnya, Allah SWT.Kalau begitu, bagi orang-orang yang beriman dunia ini sudah terasa sebagai Syurga. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan sejati dan abadi iaitu kebahagiaan hati. Hasad dengki menjadikan jiwanya menderita, kecewa dan sakit jiwa. Hatinya tidak selamat di dunia maka tidak mungkin dia boleh selamat di Akhiat.

Firman Allah: Hari khiamat iaitu hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna kecuali mereka yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera.(Surah Asy Syuara’ ayat 88-89)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan