6 Rabiul Akhir 1442H
22 November 2020M
1. Dari segi adab, Rasulullah mendidik kita agar tidak memperdengarkan sendawa kita di hadapan orang lain. Rasulullah pernah menegur seorang lelaki yang bersendawa di hadapan sahabat lain. Sabda Rasulullah:
كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ القِيَامَةِ
“Tahanlah sendawamu di hadapan kami. Kerana orang yang paling kenyang di dunia, (dibimbangi) paling lama laparnya di hari kiamat.” (HR al-Tirmizi)
2. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa larangan tersebut membawa maksud galakan agar menahan diri daripada melakukan sedemikian. (Tuhfah al-Ahwazi). Ia bukanlah sesuatu yang haram, namun ia kelihatan tidak elok di sisi adab.
3. Al-Imam Zakaria al-Ansari pula menukilkan pandangan mengenai adab menutup mulut ketika bersendawa. Perkara ini diutarakan oleh al-Imam al-Azra’i. (Asna al-Matalib). Ia adalah panduan dari aspek adab seorang muslim.
4. Begitu juga al-Imam Ahmad yang menghuraikan perkara ini dari aspek adab. Orang yang bersendawa berupaya mengeluarkan angin kesan makanan yang dimakan. Bayangkan dalam satu kumpulan manusia, duduk dalam bilik kedap, salah seorang mereka bersendawa dengan bau durian atau petai. Perkara ini mungkin boleh mengguris jiwa dan perasaan mereka yang menghidunya. 😉
Semoga Allah membimbing kita.
Kredit :
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan