23 Zulhijjah 1447H
9 Jun 2026M
Angin malam Seberang Perai bertiup perlahan, membawa damai ke serambi Masjid Jamek Tasek Gelugor. Amer merenung tatu lambang skinhead yang separuh memudar di lengan kanannya, kemudian memandang tasbih kayu di jari Ustaz Hamid. Pemuda itu mengeluh kecil, meluahkan sarat yang terbuku di dada.
"Ustaz... betul ke hijrah saya ni diterima?" tanya Amer, memecah sunyi. "Dulu saya cari ketenangan dalam muzik keras, rempit, gaduh. Sekarang bila duduk dalam masjid, saya rasa kosong. Ramai suruh saya banyakkan selawat sebab boleh tenangkan hati. Tapi kenapa jiwa saya masih rasa tak ada enjin yang boleh gerakkan diri saya?"
Ustaz Hamid tersenyum tenang. Beliau membetulkan kedudukan kain pelekatnya sebelum menepuk lembut bahu Amer. Beliau faham benar dengan laras bahasa anak muda seperti Amer yang lama hidup di jalanan.
"Amer, ramai orang silap faham pasai selawat ni," kata Ustaz Hamid dengan nada ayah-ayah, bersulam loghat utara yang pekat. "Depa pakat ingat selawat ni sekadar zikir penenang hati ja. Macam kita telan ubat bila pening kepala. Tapi hakikatnya, selawat ni la enjin utama yang boleh ubah hidup dengan perangai kita sampai pi celah akar umbi!"
Amer berpaling, matanya mengecil. "Maksud ustaz? Macam mana selawat boleh ubah hidup saya?"
"Hang cuba tengok rantaian ni satu satu," Ustaz Hamid mengangkat jari telunjuknya yang berkedut. "Pertama, bila kita selalu selawat, rohani kita automatik akan jadi makin dekat, makin mesra dengan Rasulullah SAW. Hubungan kita dengan Nabi bukan lagi sekadar cerita dalam buku sejarah yang kita baca, tapi rasa dekat sangat dalam jiwa."
Ustaz Hamid mengangkat jari kedua. "Kedua, bila dah rasa dekat, rasa cinta kepada Nabi akan melonjak naik jadi nombor satu dalam hati hang. Potong habih segala cinta pada dunia, awek, ataupun moto yang hang dok gila-gilakan dulu."
"Bila dah cinta, apa jadinya ustaz?" celat Amer, mula tertarik.
"Haa, itu yang ketiga," Ustaz Hamid tersenyum lagi, menampakkan garis-garis kedut di hujung matanya. "Bila kita dah betoi-betoi sayang dekat seseorang, apa saja yang dia suka, automatik kita pun akan pakat suka sekali, betoi tak? Kita tak payah dok paksa-paksa diri lagi dah. Macam hang dulu la, sanggup berhabih duit beli jaket kulit sebab minat skinhead, ada sapa paksa hang? Tak dak, kan?"
Amer terdiam seketika. Dia merenung lantai serambi papan masjid itu. "Ustaz... apa sebenarnya yang paling Nabi SAW sayang dan risaukan?"
Suara Ustaz Hamid bertukar rentak, menjadi lebih dalam dan sebak. "Nabi paling risaukan keselamatan kita, Amer. Nabi mahu setiap umat Baginda—termasuk hang yang pernah liaq dulu, termasuk aku yang dah tua ni—selamat daripada api neraka dan masuk syurga. Atas dasar rasa belas kasihan yang amat sangat ni la, Nabi sanggup berdakwah sampai kena baling batu, berdarah-darah, dengan menangis, dengan ayaq mata."
Ustaz Hamid memandang tepat ke dalam anak mata Amer yang mula berkaca.
"Hang tahu tak, Amer? Sampaikan masa Nabi dah nak wafat, bila tengok anak Baginda, Saidatina Fatimah dok menangis kesedihan, Nabi pujuk dia dengan kata: 'Tidak ada penderitaan atau kesusahan lagi atas bapamu setelah hari ini!' Bayangkan Amer, betapa beratnya beban yang Nabi pikul demi dok fikir nasib umat macam kita, sampai mati itu jadi satu kerehatan buat Baginda daripada penat lelah berdakwah."
Titis-titjs air mata Amer akhirnya tumpah, membasahi pipinya yang dulu kasar. Dia membayangkan pengorbanan seorang insan mulia yang tidak pernah ditemuinya, tetapi sangat menyintainya melebihi sesiapa pun di dunia.
"Jadi Amer, apa kesan akhir selawat ni pada hang yang baru nak betoi-betoi ubah hidup?" tanya Ustaz Hamid lembut.
Amer menggeleng perlahan, lidahnya kelu.
"Orang Islam yang betoi-betoi sayangkan Nabi melalui selawat, dia takkan dok saja," tegas Ustaz Hamid. Beliau kemudian membetulkan duduknya, bersandar pada tiang masjid seraya menyambung, "Dalam Surah Yusuf ayat 108, Allah ada sebut tentang jalan Nabi. Maksudnya, orang yang mengaku ikut Nabi, dia wajib sambung kerja dakwah ni. Dia takkan jadi orang yang pentingkan diri, yang asyik dok fikir pasai pahala dia sorang-sorang dalam masjid."
Ustaz Hamid menatap wajah Amer sedalam-dalamnya. Beliau memegang kedua-dua belah bahu pemuda itu.
"Awat hang nak pi jumpa balik kawan-kawan skinhead hang tu, Amer? Sebab depa teruk? Sebab depa sesat? Sebab hang dah hijrah, jadi hang rasa hang lebih baik?" Ustaz Hamid menggeleng perlahan. "Dak, Amer... bukan sebab tu."
Nafas Ustaz Hamid ditarik dalam, penuh syahdu. "Tapi hang nak jumpa depa balik sebab dalam diri depa tu... ada kalimah Laa ilaaha illalLah! Nabi SAW bagitahu, satu orang yang ada kalimah ni dalam dada dia, kedudukan dia lebih mulia daripada Kaabah! Kita nak pi jumpa depa bukan sebab nak tunjuk pandai, tapi untuk muliakan depa. Untuk bagitahu kat depa... Nabi SAW sangat-sangat sayangkan depa."
Air mata Amer semakin deras. Kata-kata Ustaz Hamid merentap ego lamanya.
"Tidak ada satu perkara pun yang lebih bergelora dalam hati Nabi SAW," sambung Ustaz Hamid, suaranya mula bergetar menahan sebak. "Melebihi keinginan Baginda untuk tengok setiap kita ni—termasuk kawan-kawan hang kat lorong gelap tu—selamat daripada tangkapan neraka, dan dimasukkan dalam syurga. Itulah kejayaan yang Nabi nak sangat kita dapat, Amer. Itulah penyejuk hati Rasulullah."
Amer menggenggam erat jari-jemarinya. Mindanya terus terbayang wajah Bob, Mail, dan Lan—kawan-kawan sekepala yang masih hanyut dengan arak murah di lorong belakang pekan Tasek Gelugor. Rasa kosong di dadanya tadi kini diganti dengan satu semangat yang membara. Rasa bongkak kerana sudah 'berhijrah' kini lebur, diganti dengan rasa belas kasihan yang diwarisi daripada selawatnya.
"Betoi kata ustaz," kata Amer, suaranya bergetar dengan tekad baharu. "Esok malam saya nekad nak pi lepak balik dekat port depa. Saya tak mau sembang kencang pasai agama, saya cuma nak bawa kasih sayang Nabi kat depa. Saya nak depa tahu, jalan keluar daripada dunia gelap tu sentiasa ada."
Ustaz Hamid tersenyum lebar, tersentuh dengan keberanian jiwa muda di hadapannya. "Alhamdulillah, Amer. Pi cari depa dengan penuh kasih sayang. Ingat, itu kerja Nabi."
Hijrah Amer bukan lagi sekadar pelarian daripada masa silam yang gelap, tetapi sebuah permulaan untuk menjadi 'enjin' pembawa cinta Nabi kepada kawan-kawannya yang lain.
"Sollu ‘Alan Nabi, Amer..." bisik Ustaz Hamid.
"Allahumma salli 'ala Sayyidina Muhammad..." sahut Amer. Malam itu, di serambi masjid di Seberang Perai, seorang bekas anak muda yang liar telah menemui 'enjin' sebenar untuk mengubah seluruh jalan hidupnya.
Gunawan Aziz
Zulhijjah 1447
Putrajaya