Pageviews

Rabu, 11 Oktober 2017

RUU 164...

20 Muharam 1439H
11 Oktober 2017M

RUU 164 : TRAGEDI MALANG BUAT UMAT ISLAM DI NEGARA INI
(10 Ogos 2017)

1. Parlimen Malaysia mencatat sebuah lagi episod sejarah yang perlu dikenang semalam. 9 Ogos 2017 akan tertulis dalam memori mengerikan buat negara yang selama ini digelar sebagai sebuah negara Islam apabila rang undang-undang bagi meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau dikenali juga sebagai Akta 164 diluluskan pada jam 1 pagi setelah dibahaskan selama beberapa jam di Parlimen.

2. Di pihak PAS, 13 orang Ahli Parlimennya telah mengambil bahagian dengan memberi peranan sepenuhnya membahaskan RUU 164 ini. Mereka ibarat benteng terakhir umat Islam yang mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mereka telah laksanakan amanah mereka dengan baik, dan Parlimen telah membuat keputusannya, dan yang pasti kesemua mereka akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

3. Tidak timbul PAS hanya bersikap pilih kasih dan hanya menjadi ‘penyokong’ kerajaan UMNO-BN. Ianya jelas dan bersuluh untuk dilihat. Bagi PAS, jika sesuatu perkara itu baik untuk Islam dan negara ini, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, PAS akan menyokongnya. Sebaliknya, jika ia bertentangan dengan Islam dan rakyat di negara ini, tidak kira siapa yang mencadangkan usul ini, PAS tetap akan menentangnya. Kami ada prinsip, dan prinsip kami mudah difahami, iaitu Islam adalah matlamat tertinggi perjuangan PAS.

4. Dalam usul semalam, PAS menentang usul yang dibentangkan oleh pihak kerajaan. PAS berdiri teguh mempertahankan prinsip Islamnya, dalam keadaan pihak pembangkang lain tidak bersatu dan bersepakat dalam menyatakan pendirian. Bahkan, ahli parlimen pembangkang sanggup pula bersekongkol dengan Ahli Parlimen BN dalam meranapkan hak umat Islam di negara ini.

5. Apa yang menyedihkan, daripada sejumlah 141 Ahli Parlimen bergama Islam, baik pihak kerajaan (UMN-BN) mahupun pembangkang, tidak ada suara yang membangkang usul ini. Lebih pelik apabila Ahli Parlimen beragama Islam dari parti Amanah Negara (PAN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengaku berjuang Islam tidak turut sama mengambil bahagian dalam membantah usul ini.  Speaker Parlimen dengan mudah menolak bantahan MP PAS yang berjumlah 13 orang tanpa perlu mengundi kerana tidak cukup korum untuk membuat belah bahagi.

6. PAS ada sebab yang  kukuh untuk menentangnya, dan bukan bangkit menentang secara semberono atau untuk meraih kepentingan politik demi populariti semata-mata. RUU 164 ini perlu ditarik balik dengan alasan yang sangat jelas dan kuat, iaitu ianya bercanggah dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan juga bercanggah dengan peruntukan Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.

7. Apa yang dibimbangkan adalah, RUU 164 membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini. Antara bahaya yang bakal menjelma hasil dari RUU 164 ini adalah seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam. Selain itu, RUU 164 ini memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Sebaliknya, orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

8. Antara lain, hak umat Islam yang terlucut hasil dari RUU 164 ini ialah seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak. Bahkan orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

9. Dengan meluluskan Akta RUU 164, bererti kekalahan besar terhadap kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara ini. Selepas ini, satu demi satu hak umat Islam terlucut, ditarik, ditukar dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad, menukar agama, dan mengikis hak terutama penjgaan hak terhadap anak-anak.

10. Semoga tragedi di Parlimen pada 9 Ogos 2017 membuka mata rakyat bahawa kerajaan pimpinan UMNO-BN tidak boleh diharap untuk membela agama Islam. Selama mereka memerintah, selama itulah umat Islam akan terus tergadai dan terabai.  Di sisi yang lain, kelihatan jelas parti-parti pembangkang bukan pembela Islam sejati, sebaliknya hanya menjadikan Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja. Ketika sempit, Islam dijulang dan ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan kalau mereka memerintah kelak, apa akan jadi kepada nasib umat Islam di negara ini?

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan