09 Oktober 2017M
Membentengi Diri Daripada Gangguan Syaitan / Jin Sesuai Al-Quran dan As-Sunnah Yang Sahih.
Pencegahan Umum
1) Bersihkan diri daripada segala keyakinan dan amalan yang boleh merosakkan akidah seperti syirik, khurafat dan tahyul. Contoh amalan-amalan syirik yang masyhur dalam masyarakat kita:
a) Memakai tangkal / azimat. Ini termasuklah azimat yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an.
b) Meminta dan berdoa kepada selain Allah seperti jin, orang yang telah mati, kuburan dan seumpama.
c) Berjumpa dengan bomoh, dukun dan seumpama.
d) Meyakini adanya selain Allah yang berkuasa mendatangkan mudarat dan manfaat, menentukan sial dan nasib baik, menghubungkan jodoh, memberi rezeki dan sebagainya.
2. Mengerjakan ibadah-ibadah wajib seperti solat lima waktu, puasa di bulan ramadan dan seumpama.
3. Banyakkan berzikir kepada Allah dengan mengamalkan zikir-zikir dan doa-doa harian yang diajarkan oleh Rasulullah menerusi sunnah-sunnahnya yang sahih seperti doa sebelum dan selepas memasuki tandas, doa sebelum tidur, doa sebelum makan dan sebagainya.
4. Sentiasalah menjaga kebersihan diri, pakaian dan makanan. Ingatlah Allah dan para malaikat amat suka kepada kebersihan sementara Syaitan amat suka kepada kekotoran.
Zikir-Zikir Harian
1. Lazimkan membaca surah al-Baqarah di rumah kerana Syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan surah al-Baqarah. Sabda Nabi: "Janganlah jadikan rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya Syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah." [Shahih Muslim, no. 780]
2. Setiap kali hendak membuka atau menutup pintu rumah, bacalah ‘bismillah’ kerana Syaitan tidak akan dapat membuka pintu-pintu yang telah dikunci dengan menyebut nama Allah." [Shahih Muslim, no. 2012]
3. Sebelum hendak tidur, ambillah air wudhuk dengan sempurna dan bacalah ayat al-Kursi. Sesiapa yang melakukannya, maka dia akan sentiasa berada dalam jagaan Allah dan Syaitan tidak akan mampu mendekatinya sehinggalah waktu pagi. [Shahih Al-Bukhari, no. 2311]
4. Amalkanlah zikir di bawah ini setiap pagi dan petang, masing-masing sebanyak tiga kali (3x). Insha Allah tidak ada sesuatu pun yang berupaya mendatangkan merbahaya kepada pengamalnya." [Shahih Ibnu Majah, no. 3120]
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهَوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.
Bismillaa-hil ladzii laa yadhurru ma’as mihi syai-un fil ‘ardhi walaa fis samaa-e wahuwas samii-‘ul ‘aliim
(Dengan nama Allah yang bersama-Nya tidak ada sesuatu jua yang membahayakan, baik di bumi mahupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui).
5. Apabila memasuki sesuatu kawasan seperti bangunan, rumah yang ditinggalkan kosong, hutan atau apa sahaja tempat yang menyeramkan, bacalah doa di bawah ini sebanyak 3 kali. Orang yang mengamalkannya akan sentiasa berada dalam jagaan Allah sehinggalah dia keluar dari kawasan tersebut. [Shahih Muslim, no. 2708]
أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ.
A-‘uudzu bikalimaa tillaa hit taam-maa-ti min syarri maa kholaq.
(Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk ciptaan-Nya).
6. Bacalah zikir berikut sebanyak 10 kali setelah menunaikan solat Subuh dan Maghrib.
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَ لَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
Laa ilaaha illallooh wahdahu laa syarii kalahu, lahul mulku, walahul hamdu, yuhyii wayumii-tu, wahuwa ‘alaa kulli syai-in qodiir.
(Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan. Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu).
Orang yang mengamalkan zikir di atas akan dituliskan baginya 10 kebaikan, dihapuskan 10 kejahatan, diangkat 10 darjat dan dilindungi Allah dari setiap keburukan dan godaan Syaitan. [Shahih At-Targhib wa At-Tarhib, no. 474]
Syarat Mujarab Zikir dan Doa
1. Ikhlaskan niat dalam melaksanakan apa jua urusan ibadah kepada Allah. Lawan kepada ikhlas ialah riya’, iaitu melakukan ibadah atau amal kebaikan hanya kerana inginkan pujian dan sanjungan daripada orang lain. Syaitan menjelaskan bahawa dia tidak akan mampu menyesatkan hamba-hamba Allah yang ikhlas dalam beribadah kepada-Nya.[Surah Al-Hijr, ayat 40]
2. Amalkanlah doa dan zikir di atas dengan penuh tumpuan, yakin dan tawakkal kepada Allah. Dengan memenuhi syarat ini, insya Allah kita akan sentiasa berada dalam jagaan Allah dan Syaitan tidak memiliki sebarang kekuasaan ke atas diri kita. [Surah An-Nahl, ayat 99]
3. Elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang menjadi kesukaan Syaitan seperti melakukan amalan-amalan Syirik, meninggalkan ibadah-ibadah wajib, mendedahkan aurat dan sebagainya.[Surah An-Nahl, ayat 100]
4. Yakinlah bahawa Syaitan itu adalah makhluk yang lemah dan ia tidak mampu memudaratkan manusia tanpa izin Allah semata-mata.[Surah An-Nisa’, ayat 76]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan