20 Oktober 2020
AURA WANITA -
SIHAT & SUKSES saat KEHAMILAN
Kehamilan merupakan satu proses fisiologikal berperingkat yang mengambil masa lebih kurang sembilan bulan sebelum suatu nyawa baru dilahirkan, dan proses ini memerlukan kekuatan mental yang sihat untuk manghadapinya.
Kehamilan bermula dengan penemuan di antara satu sperma yang sihat dan kuat dengan satu ovum yang sihat dan subur. Sperma ini akan menusuk masuk ke dalam ovum, dan tindak balas biokimia akan berlaku berikutannya. Ini termasuk pengaturan semula DNA dan bermulanya proses pembahagian sel-sel. Pembahagian sel-sel inilah yang akan membentuk fetus. Tumbesaran fetus melibatkan pembentukan organ-organ tertentu secara berperingkat, misalnya otak, saraf tunjang, mata, pembentukan bahagian kaki dan tangan diikuti dengan pembentukan jari-jari, denyutan jantung dan seterusnya pergerakan fetus dalam kandungan ibu.
Memandangkan kehamilan merupakan satu proses fisiologikal berperingkat yang begitu rumit serta melibatkan banyak perubahan hormon-hormon, maka seseorang ibu itu akan juga mangalami tekanan daripada perubahan ini. Perubahan-perubahan yang dialami ini termasuk penambahan berat badan, bengkak payudara, bengkak badan akibat pengumpulan air, bengkak saluran vena (varicose vein) akibat pengaliran darah yang kurang baik, muntah-munah dan loya (atau lebih dikenali sebagai morning sickness), penat, mengantuk, susah pernafasan, sakit belakang, kekerapan membuang air kencing, jerawat. Selain itu, ibu juga megalami perubahan emosi yang ketara, ingin dimanjakan dan corak makan yang kerap dan tidak tentu masanya. Ibu mengandung juga boleh mendapat tekanan darah tinggi dan kencing manis yang dicetuskan oleh kehamilan, dan mungkin akan terus mengidapinya walaupun setelah melahirkan bayi nanti. Risiko untuk mendapat jangkitan saluran kencing dan jangkitan pada tempat kemaluan juga adalah tinggi.
Kehamilan tidak berakhir setakat bayi dilahirkan sahaja, maka kesan daripada kehamilan beterusan selama 6 minggu selepas kelahiran bayi. Terdapat segolongan ibu yang mengidapi masalah psikiatri dalam tempoh ini. Ini termasuk gemurung (depression), kecederungan untuk membunuh diri dan bayi mereka.
Oleh yang sedemikian, kesihatan yang optimum, kekuatan mental yang tinggi dan sokongan keluarga yang padu adalah amat penting untuk keseluruhan proses kehamilan yang sempurna.
-----------------------------------
TERAPI REIKI & KEHAMILAN
-----------------------------------
‘Reiki dan Kehamilan’, membawa maksud penggunaan Reiki pada ibu mengandung sebagai salah satu rawatan alternatif yang boleh meringankan simptom-simptom awal kehamilan yang tidak menyenangkan, mencapai kesihatan dan kesejahteraan fisikal dan mental sepanjang kehamilan, dan mengelakkan komplikasi-komplikasi daripada proses kehamilan yang tidak diingini.
Memandangkan kehamilan merupakan satu proses yang berkemungkinan besar boleh menelan pembelanjaan yang tinggi bagi menjamin kesihatan kedua-dua ibu dan anak, maka adalah diperlukan satu pilihan rawatan alternatif yang mudah dan selamat untuk mencapai tujuan tersebut dan juga mengurangkan bebanan ekonomi keluarga dan juga negara.
Kajian ini adalah untuk meninjau setakat mana kesesuaian Reiki boleh diapplikasikan semasa kehamilan di Malaysia, dan potensi Reiki dalam mengurangkan simptom-simptom dan komplikasi daripada kehamilan.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kehamilan merupakan satu proses fisiologikal berperingkat yang rumit, dan setiap peringkat itu mempunyai pengaruhan yang berbeza ke atas kesihatan ibu. Di sini, kita akan melihat bagaimana Reiki boleh diapplikasikan kepada ibu mengandung dalam peringkat kehamilan yang berbeza ini. Secara keseluruhannya, kehamilan boleh dibahagikan kepada peringkat awal, peringkat pertengahan dan peringkat kelahiran.
Peringkat awal kehamilan:
Tujuan terapi Reiki pada peringkat ini adalah ditumpukan untuk menghasilkan suatu suasana yang harmoni dan berkasih sayang di antara suami isteri, serta menyediakan kedua-dua suami isteri keadaan fizikal dan spiritual yang stabil untuk penerimaan seorang anak pada masa akan datang. Maka terapi Reiki sebaik-baiknya diberikan kepada kedua-dua suami dan isteri pada peringkat ini.
Selain daripada cara rawatan dan posisi tangan biasa, terapi Reiki juga ditumpukan kepada Chakra bahagian Heart, Solar Plexus dan Navel. Chakra bahagian Heart membantu memastikan pengaliran darah yang secukupnya ke setiap sel pada seluruh badan.
Dalam Perubatan Tradisional Cina, Qi adalah disalurkan ke seluruh bahagian badan melalui darah; maka pengaliran darah yang lancar bermaksud juga pengaliran tenaga Reiki yang menyeluruh di dalam badan. Juga, Heart Chakra menyemai rasa kasih sayang pada ibu mengandung terhadap suaminya, anak akan datangnya, serta ahli keluarga yang lain. Sebagai pusat utama dalam sistem Chakra, Heart Chakra menghubungi ketiga-tiga Chakra fizikal dan emosional di bawah dengan ketiga-tiga Chakra mental dan spiritual di atas. Oleh sedemikian, keharmonian pada Chakra Heart juga turut mengimbangi keenam-enam Chakra yang lain.
Kesan-kesan kehamilan seperti sembelit dan kembung perut boleh diperbaiki melalui pemberian Reiki pada Chakra bahagian Solar Plexus dan Navel. Penjagaan sistem reproduktif amat penting sepanjang kehamilan, dan ini boleh dicapai dengan memberi terapi Reiki pada Chakra Navel.
Adalah digalakkan suami isteri di peringkat ini mengambil latihan Reiki bersama, agar mereka boleh saling memberikan rawatan kepada pasangan masing-masing. Adalah baik jika dapat memberi rawatan Reiki setiap hari bagi mencapai faedah yang memuaskan.
Peringkat pertengahan kehamilan:
Pada peringkat pertengahan kehamilan, rawatan boleh ditumpukan pada bahagian kandungan serta bahagian bawah tulang belakang ibu mengandung, iaitu kawasan yang perlu menampung berat badan yang semakin meningkat setiap hari, untuk meringankan simptom sakit tulang belakang. Reiki akan membantu ibu mengandung sentiasa tenang dan rileks. Selain itu, juga turut mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan pertumbuhan saiz bayi kandungan yang kian bertambah setiap hari.
Pernah dilaporkan oleh salah seorang pengamal Reiki dari Amerika Syarikat yang semasa kehamilannya, beliau telah memberi pengijazahan kepada bayi dalam kandunangnya. Apabila dilahirkan, bayi itu begitu tenang sekali dan jarang menangis.
Peringkat akhir kehamilan:
Pada peringkat kelahiran, berikan rawatan Reiki pada Chakra bahagian Crown, Third Eye (Brow) dan Root. Pemberian Reiki pada Chakra bahagian Crown dan Third Eye (Brow) membantu mengimbangkan tenaga di persekitaran ibu dan membantu ibu lebih tenang serta mengelakkan masalah insomnia. Ia juga mengurangkan kerisauan dan kegelisahan ibu mengandung pada saat-saat kelahiran. Ketenangan adalah amat penting pada saat-saat kelahiran kerana ia boleh menolong ibu menolak keluar bayi secara serasi dengan pengecutan otot rahim.
Manakala, pemberian Reiki pada Chakra bahagian Root pada peringkat ini dipercayai dapat membantu pengecutan otot rahim dan pada masa yang sama memberikan pengijazahan Reiki untuk bayi juga.
ISU KETIKA KEHAMILAN
Tekanan Darah Tinggi
Tekanan darah tinggi yang diakibatkan kehamilan (pregnancy induced hypertension, PIH) biasanya berlaku selepas mingguan ke-20 kehamilan. Diagnosa dibuat apabila nilai tekanan darah sistolik bersamaan 140mmHg atau lebih tinggi, dan/atau nilai tekanan diastolik bersamaan 90mmHg atau lebih tinggi. Ukuran perlu dibuat sebanyak 2 kali dengan jarak masa sekurang-kurangnya 4 jam sebelum diagnosa ini dibuat. PIH boleh memberi banyak komplikasi kepada kedua-dua ibu dan anak dalam kandungan, salah satunya adalah eklampsia, iaitu sawan pada ibu.
Terapi Reiki: Sesi Reiki adalah sesuai diikuti pada awal kehamilan, ataupun sebelum kehamilan bagi mencapai tujuan pencegahan masalah tekanan darah tinggi ini. Selain daripada posisi tangan yang biasa, Chakra yang diberi tumpuan adalah Heart chakra yang berperanan dalam pengawalan pengaliran darah, serta Crown dan Third Eye (Brown) yang berperanan dalam penyelarasan hormon-hormon utama dalam badan.
Kencing Manis (Diabetes)
Kencing manis semasa kehamilan (Gestational Diabetes Melitus) merupakan satu keadaan di mana intoleransi kepada karbohidrat yang berlaku semasa kehamilan. Mengikut definisi Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), ia didiagnosi apabila gula darah sebelum mengambil Ujian Toleransi Glukosa melebihi 7.0mmol/L atau paras glukosa darah setelah mengambil Ujian Toleransi Glukosa melebihi 11.0mmol/L. Kencing manis semasa kehamilan membawa risiko ke atas kesihatan kedua-dua ibu dan anak kandungan.
Terapi Reiki: Selain daripada posisi tangan biasa, rawatan Reiki perlu ditumpukan pada Chakra bahagian Solar Plexus. Chakra Solar Plexus berhubung-kait dendan organ hati dan pankreas. Maka keseimbangan pada Chakra ini adalah perlu bagi memastikan metabolisma karbohidrat yang sempurna serta perembesan insulin yang normal dalam pengawalan paras glukosa di dalam darah.
'Morning Sickness'
Muntah-muntah, ataupun lebih dikenali sebagai ‘morning sickness’ kerap berlaku pada peringkat awal kehamilan. Ianya berlaku akibat perubahan hormon dalam badan.
Terapi Reiki: Selain daripada posisi tangan Reiki yang biasa, juga perlu ditumpukan pada Chakra bahagian Throat dan Navel. Kedua-dua bahagian Chakra ini membantu dalan penyelarasan dan pengeluaran secara normal untuk hormon-hormon berkenaan yang semakin meningkat pada masa kehamilan.
Kemurungan & Stres
Masalah kemurungan dan tekanan jiwa sering berlaku akibat perubahan fisiologikal serta penyediaan mental yang tidak cukup, dan juga tekanan daripada ahli keluarga dan tempat bekerja. Reiki dipercayai dapat menolong menyesuaikan diri dengan perubahan dalam badan semasa kehamilan dan menolong mereka mempunyai satu minda dan sikap yang positif terhadap kehamilan sehingga ke saat-saat kelahiran. Ia dilaporkan dapat membantu ibu dari segi menstabilkan emosi serta menyedarkan mereka akan sifat keibuan. Ia juga menolong fetus bertumbuh dengan normal dan memudahkan proses kelahiran. Reiki akan mengeratkan lagi ikatan kasih saying di antara ibu dan anak.
Terapi Reiki: Chakra yang dipercayai dapat membantu termasuk Crown dan Third Eye (Brow). Kedua-dua Chakra ini juga berhubung-kait dengan lapisan-lapisan Aura Celestial body dan Causal body yang penting dalam penjagaan keharmonian mental.
Allergi & Bengkak Badan
Masalah ini diakibatkan oleh perubahan hormon serta perubahan fisiologikal yang menyebabkan pengumpulan air dalam badan.
Terapi Reiki: Selain daripada posisi tangan yang biasa, bahagian Chakra yang perlu diberi perhatian termasuk Third Eye (Brow) untuk penyelarasan hormon-hormon, Navel untuk kesihatan sistem reproduktif dan buah pinggang, serta Root yang juga berperanan dalam penjagaan kesihatan buah pinggang. Buah pinggang yang sihat dapat mengelakkan pengumpulan air yang berlebihan dalam badan semasa kehamilan.
Kelahiran melalui Pembedahan
Jika pembedahan diperlukan untuk kelahiran anak (untuk keadaan-keadaan yang tidak dapat dielakkan), terapi Reiki boleh membantu dalam menenangkan ibu. Chakra yang diberi tumpuan termasuk Throat chakra dan Heart chakra.
Reiki juga akan mempercepatkan proses penyembuhan daripada pembedahan, dan meningkatkan sistem pertahanan ibu untuk mengelakkan komplikasi pembedahan seperti jangkitan kuman.
RUMUSAN DAN PENUTUP
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan pengamal Reiki berkaitan dengan penggunaan dan pengijazahan (attunement) tenaga Reiki semasa kehamilan. Ada pengamal yang berpendapat bahawa apabila seseorang ibu itu diberi pengijazahan maka secara automatiknya bayi dalam kandungan juga akan turut diijazahkan dengan tenaga Reiki. Pada sebelah lain, ada pula pengamal Reiki yang tidak bersetuju berkaitan kenyataan ini. Mereka berpendapat bahawa bayi dalam kandungan tidak akan terlibat dalam proses pengijazahan Reiki. Ini adalah kerana bayi dalam kandungan adalah individu berasingan daripada ibunya dan bayi tersebut tidak memberi persetujuan untuk menerima tenaga Reiki. Pada pendapat saya, bayi merupakan sebahagian dalam sistem tenaga ibunya semasa proses pengijazahan dikurniakan, maka bayi pun akan turut mendapat faedah daripada pengijazahan tersebut.
Reiki tidak akan memudaratkan kehamilan. Perlu diingatkan bahawa aliran tenaga Reiki akan secara semulajadinya mengimbangi tenaga dan tempat yang memerlukannya. Oleh sedemikian, kedua-dua ibu dan anak akan mendapat faedah daripada terapi Reiki ini. Reiki membantu dalam setiap peringkat kehamilan, dari permulaan mengandung sehingga ke saat-saat kelahiran. Para ibu tidak perlu risau yang mereka akan melahirkan bayi pra-matang selepas terapi Reiki.
Kesimpulannya, terapi Reiki ini merupakan satu teknik selamat yang sesuai digunakan oleh para ibu mengandung. Reiki menenangkan kekhuatiran, ketakutan, dan kesakitan yang berkaitan dengan kehamilan, dan akan memudahkan proses kelahiran.
------------------------
HAKCIPTA TERPELIHARA: Hak milik dituntut © Dr Mir Hazil Azran Ramli (PhD) & Dr Sim Sze Kiat (MD).
[Kandungan kajian ini adalah untuk paparan serta rujukan semata-mata. Tidak dibenarkan menyalin semula dalam apa juga bentuk tanpa kebenaran bertulis . Boleh di 'share' untuk kebaikan bersama.]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan