26 SAFAR 1442H
14 Oktober 2020M
BENARKAH BUNUH DIRI MURTAD, TIDAK DISOLATKAN DAN TIDAK BOLEH DIDOAKAN?
Viral kes bunuh diri. bukan mahu membincangkan kes tersebut, sebaliknya ingin membantu merungkaikan kekeliruan yang ada dalam hal ini.
A- Membunuh diri adalah satu dosa yang besar.
Ini berdasarkan dalil-dalil berikut:
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:
مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهْوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا ".
Sesiapa yang terjun daripada gunung lalu membunuh dirinya sendiri, maka dia di neraka jahanam. Dia akan terjun ke dalam neraka selamanya. Sesiapa yang meminum racun lalu membunuh dirinya, dia akan membawa racun pada tangannya dan memakan racun itu selamanya di dalam neraka. Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka dia akan membawa besi di tangannya dan menikam perutnya selamanya di dalam neraka.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Thibb, hadis no: 5778].
Daripada Thabit bin ad-Dhahhak r.a, Nabi s.a.w bersabda:
وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ فِي الدُّنْيَا عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, dia akan diazab dengannya pada hari kiamat. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, hadis no: 6047].
Daripada Jundub r.a, Nabi s.a.w bersabda:
كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ، فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ، فَمَا رَقَأَ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ ".
Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga. [Sahih al-Bukhari, Kitab Ahadis al-Anbiya', hadis no: 3463].
Daripada Jabir r.a:
أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ .
Dibawakan kepada Nabi s.a.w seseorang yang membunuh dirinya dengan mata anak panah, baginda tidak mensolatkan jenazah itu. [Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, hadis no: 978].
Hadis-hadis di atas menunjukkan besarnya dosa membunuh diri. Persoalan, adakah membunuh diri menyebabkan seseorang kafir sehingga kekal dalam neraka seperti hadis-hadis di atas?
B- Membunuh diri tidak menyebabkan murtad.
Hadis berikut menunjukkan mereka yang membunuh diri tetap dikira Muslim.
فَلَمَّا هَاجَرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمَدِينَةِ هَاجَرَ إِلَيْهِ الطُّفَيْلُ بْنُ عَمْرٍو وَهَاجَرَ مَعَهُ رَجُلٌ مِنْ قَوْمِهِ فَاجْتَوَوُا الْمَدِينَةَ فَمَرِضَ فَجَزِعَ فَأَخَذَ مَشَاقِصَ لَهُ فَقَطَعَ بِهَا بَرَاجِمَهُ فَشَخَبَتْ يَدَاهُ حَتَّى مَاتَ فَرَآهُ الطُّفَيْلُ بْنُ عَمْرٍو فِي مَنَامِهِ فَرَآهُ وَهَيْئَتُهُ حَسَنَةٌ وَرَآهُ مُغَطِّيًا يَدَيْهِ فَقَالَ لَهُ مَا صَنَعَ بِكَ رَبُّكَ فَقَالَ غَفَرَ لِي بِهِجْرَتِي إِلَى نَبِيِّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا لِي أَرَاكَ مُغَطِّيًا يَدَيْكَ قَالَ قِيلَ لِي لَنْ نُصْلِحَ مِنْكَ مَا أَفْسَدْتَ . فَقَصَّهَا الطُّفَيْلُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " اللَّهُمَّ وَلِيَدَيْهِ فَاغْفِرْ "
Ketika Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, At-Thufail bin 'Amru turut berhijrah bersama seorang lelaki daripada kaumnya. Keadaan cuaca di Madinah tidak sesuai dengannya lalu lelaki itu jatuh sakit dan tidak dapat menahan kesakitan itu, lalu dia mengambil mata anak panah lalu memotong tangannya lalu darah mengalir keluar daripada tangannya hingga dia mati. At-Thufail melihat lelaki itu dalam mimpinya. Lelaki itu berada dalam keadaan baik dan kelihatan tangannya berbalut. Dia bertanya kepada lelaki itu: Apa yang telah tuhan kamu lakukan kepada mu? Lelaki itu menjawab: Tuhan ku telah mengampuni aku kerana hijrah ku kepada Nabi s.a.w. At-Thufail bertanya lagi: Kenapa aku lihat tangan kau berbalut? Lelaki itu menjawab: Dikatakan kepada ku: Kami tidak akan mengelokkan apa yang telah engkau rosakkan. At-Thufail menceritakan kepada Nabi s.a.w hal itu. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: Ya Allah, untuk tangannya itu, kau ampunilah.
[Sahih Muslim, Kitab al-Iman, hadis no: 116].
Imam An-Nawawi menamakan bab hadis ini dengan nama:
باب الدَّلِيلِ عَلَى أَنَّ قَاتِلَ نَفْسِهِ لاَ يَكْفُرُ
Bab dalil sesiapa yang membunuh dirinya tidak kafir.
Imam an-Nawawi menerangkan tentang hadis ini:
أما أحكام الحديث ففيه حجة لقاعدة عظيمة لأهل السنة أن من قتل نفسه أو ارتكب معصية غيرها ومات من غير توبة فليس بكافر ، ولا يقطع له بالنار ، بل هو في حكم المشيئة . وقد تقدم بيان القاعدة وتقريرها . وهذا الحديث شرح للأحاديث التي قبله الموهم ظاهرها تخليد قاتل النفس وغيره من أصحاب الكبائر في النار ، وفيه إثبات عقوبة بعض أصحاب المعاصي فإن هذا عوقب في يديه ففيه رد على المرجئة القائلين بأن المعاصي لا تضر . والله أعلم .
Pada hadis ini terdapat hujah kepada kaedah yang besar di sisi Ahlussunnah bahawa sesiapa yang membunuh dirinya atau melakukan dosa besar selainnya dan mati dalam keadaan tidak bertaubat, maka dia tidak kafir, dan tidak diputuskan kedudukannya di neraka. Bahkan ia berada di bawah kehendak Allah. Telah diterangkan tentang kaedah ini. Hadis ini menjelaskan hadis sebelumnya yang zahirnya menunjukkan kekal dalam neraka sesiapa yang membunuh diri dan pelaku dosa-dosa besar yang lain. Hadis ini menunjukkan adanya hukuman kepada pelaku maksiat dan hukuman itu ditangan Allah. Ia merupakan penolakan kepada golongan Murjiah yang yang menyatakan bahawa maksiat tidak memudharatkan (iman sedikit pun).
C- Berdasarkan hadis dalam point B, kita ketahui bahawa muslim yang membunuh diri tetap dikira Muslim bahkan didoakan sebagaimana yang Nabi s.a.w lakukan.
Lalu bagaimana dengan tindakan Nabi s.a.w tidak mahu mensolatkan jenazah yang membunuh diri?
Kita perlu ketahui bahawa bukan jenazah membunuh diri sahaja yang nabi s.a.w enggan solatkan, bahkan jenazah orang yang berhutang tetapi tidak membayarnya. Ini tidak bermaksud orang yang mati dalam keadaan banyak berhutang itu kafir atau murtad.
Imam an-Nawawi menerangkan tentang hal ini dalam Syarah Sahih Muslim:
وقال الحسن والنخعي وقتادة ومالك وأبو حنيفة والشافعي وجماهير العلماء : يصلى عليه , وأجابوا عن هذا الحديث بأن النبي صلى الله عليه وسلم لم يصل عليه بنفسه زجرا للناس عن مثل فعله , وصلت عليه الصحابة " .
Imam Al-Hasan, An-Nakhaie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, Al-Syafie dan majoriti ulama berpendapat disolatkan jenazahnya (iaitu yang membunuh diri). Mereka menjawab tentang hadis ini iaitu Nabi s.a.w tidak mensolatkan jenazah itu sebagai amaran kepada orang ramai daripada melakukan hal yang serupa, manakala sahabat-sahabat yang lain mensolatkan jenazah itu.
D- Apakah maksud kekal dalam neraka? Bukankah itu hukuman untuk orang kafir?
Di bawah ini adalah ringkasan daripada huraian Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari:
- Perkataan (فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا) selamanya kekal di dalam neraka dipertikaikan oleh ulama hadis. Ini kerana riwayat yang lain sekadar menyebutkan di neraka tanpa disebutkan kekal di dalamnya. Ini sebagaimana kata Imam at-Tirmizi:
وهو أصح ، لأن الروايات قد صحت أن أهل التوحيد يعذبون ثم يخرجون منها ولا يخلدون ،
Inilah riwayat yang lebih kuat (iaitu yang tanpa perkataan kekal). Ini kerana riwayat-riwayat hadis lain telah menunjukkan bahawa ahli tauhid akan diazab kemudian dikeluarkan daripada neraka dan tidak kekal di dalamnya.
- Sebahagian ulama berpendapat yang kekal dalam neraka ialah orang yang menghalalkan perbuatan membunuh diri yang mana dia menjadi kafir kerana menghalalkan yang haram.
- Sebahagian ulama berpendapat perkataan 'kekal' itu adalah sekadar sebagai satu penegasan dalam memberi amaran untuk menunjukkan beratnya dosa itu.
- Sebahagian ulama berpendapat 'kekal dalam neraka' itu bermaksud itulah hukuman yang layak kepada pelakunya akan tetapi Allah telah memuliakan orang beriman lalu mengeluarkannya daripada neraka kerana tauhidnya.
- Sebahagian ulama berpendapat bahawa 'kekal' itu bermaksud dia akan duduk dalam nerakan untuk satu tempoh yang panjang.
Bagaimana pula dengan maksud (حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ) aku telah mengharamkan ke atasnya syurga?
Ibnu Hajar membawakan beberapa penafsiran ulama:
- Dia menghalalkan perbuatan membunuh diri.
- Orang itu memang kafir dan tindakan bunuh diri ini hanya menambahkan azab ke atasnya di akhirat.
- Syurga hanya diharamkan sementara waktu untuknya.
- Yang diharamkan ialah syurga tertentu seperti syurga Firdaus.
- Untuk menerangkan beratnya dosa itu, dan bukannya maksudnya tidak akan masuk syurga langsung.
- Hal ini berlaku untuk kaum sebelum umat Nabi s.a.w yang mana pada syariat terdahulu pelaku dosa besar menjadi kafir. Ini pendapat Imam Nawawi.
Kenapakah ulama-ulama cuba mentakwil hadis-hadis di atas?
Ini kerana ia bercanggah secara zahirnya dengan dalil-dalil al-Quran dan hadis-hadis sahih yang sangat banyak menceritakan tentang orang Mukmin kesemuanya akan masuk syurga, Allah akan ampuni semua dosa, hadis syafaat, hadis orang terakhir masuk syurga dan banyak lagi.
إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa menyekutukannya, dan mengampuni dosa-dosa selain itu untuk sesiapa yang Dia Kehendaki. (An-Nisa’ : 48)
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ (53)
Katakanlah wahai hambaku yang telah melampau batas ke atas diri mereka sendiri. Janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni kesemua dosa. (Az-Zumar : 53).
E- Mereka yang membunuh diri itu sendiri keadaannya berbeza-beza.
- Ada yang melakukannya dalam keadaan waras tetapi tidak menghalalkan perbuatan itu. Dia berdosa besar tetapi masih Muslim. Kedudukannya bergantung kepada Allah sama ada akan dihukum dahulu kemudian masuk ke syurga atau diampuni dan terus masuk syurga.
- Ada yang melakukannya kerana sudah gila atau hilang akal. Untuk orang sebegini, maka dia tidak dihukum.
Nabi s.a.w bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Diangkatnya pena daripada tiga golongan iaitu orang yang tidur hingga terjaga, daripada kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang gila sehingga dia berakal.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Hudud, hadis no: 4403].
Kesimpulan:
- Kita perlu menghentikan cubaan mempromosi budaya membunuh diri sebagai satu tanda protes apatah lagi menjadikan pelakunya sebagai hero kerana dosa membunuh diri sangat besar.
- Kita hendaklah mendoakan keampunan dan rahmat kepada pelakunya.
- Imam dan orang alim boleh tidak mensolatkan orang yang mati membunuh diri sebagai peringatan kepada yang lain. Adapun orang ramai hendaklah tetap mensolatkan jenazah itu.
- Kita tidak boleh secara pasti menyatakan seseorang ke neraka atau ke syurga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan