Bagi umat Islam, khususnya tarikh 5 hingga 10 Jun 1967 menandakan tahap yang paling rendah dalam sejarah kerana Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis kembali terjajah setelah ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi kira-kira 1,000 tahun yang silam.
Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau 'hari kekalahan'.
Peristiwa an-Naksah merujuk kepada Perang Enam Hari pada tarikh di atas di antara negara-negara Arab dan Israel. Dalam tempoh sesingkat enam hari itu, tiga negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan kehilangan wilayah dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut ketenteraan.
Bahkan, dalam tempoh tersebutlah Masjid al-Aqsa ditawan oleh tentera Israel dan terus terjajah sehingga hari ini.
Pada 8 Jun, Mesir kehilangan seluruh Semenanjung Sinai yang merupakan satu kekalahan yang besar dan memberi kelebihan strategik kepada Israel untuk terus menguasai Selat Tiran yang mengawal laluan ke Laut Merah.
Jalur Gaza yang dikuasai oleh Mesir sejak tahun 1948 juga jatuh ke tangan musuh. Tentera Israel juga memasuki Kota lama Baitul Maqdis dan menduduki Masjid al-Aqsa pada 7 Jun, seterusnya mara ke Sungai Jordan dan menguasai seluruh Tebing Barat yang ditadbir oleh Jordan.
Apabila Mesir dan Jordan bersetuju dengan gencatan senjata yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat sudah diduduki oleh tentera Israel.
Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dan menduduki Tanah Tinggi Golan sehingga kini.
Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya ialah dua kali ganda dari negara haram Israel yang didirikan ke atas wilayah Palestin pada tahun 1948. Wilayah tersebut meliputi; Baitul Maqdis timur, Tebing Barat, Jalur Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.
Bagi umat Islam, 7 Jun adalah tarikh yang amat memilukan kerana pada tarikh tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel memasuki Masjid al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap.
Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya Masjid al-Aqsa ditangan Yahudi.
Mereka menghina Rasulullah SAW dengan melaungkan "Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita"; merujuk kepada negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam perang enam hari tersebut.
Mereka turut memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin yang mengadap Tembok Buraq (Western Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara keagamaan Yahudi.
Tembok Buraq mereka kuasai dan menamakannya sebagai Kottel atau Wailing Wall, satu tindakan yang jelas merampas hak umat Islam yang diperakui oleh Liga Bangsa-Bangsa sebagai warisan Islam.
Israel seterusnya mengisytiharkan penggabungan Baitul Maqdis barat (bahagian Baitul Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis timur (yang mereka tawan dalam Perang Enam Hari) dan menamakan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat selama-lamanya pada 26 Jun 1967.
PBB bertindak meluluskan Resolusi 242 pada bulan 2 November 1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan 'sebahagian dari wilayah yang ditawannya'.
Namun Israel telah menggunakan wilayah yang didudukinya sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk menciptakan perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan