03 Rabiul Akhir 1435.
Di saat insan mula kebinggungan dalam mencari erti ketenangan jiwa
di tengah-tengah kegersangan hidup metropolitan. Di saat banyaknya
kerinduan yang tak putus-putus mencari kedamaian sejati yang kian hilang
dan alpa di dunia yang serba materialistik. Di saat seni kerehatan diri
dan perlatihan perenungan jiwa, peta pemikiran serta keheningan sukma
semakin suram dan sunyi dimamah gelombang kehidupan yang tiada henti
bergolak; KEHADIRAN sebuah seni penyembuhan jiwa bertemakan spiritualiti moden bernama REIKI ini seolah-olah memberikan NAFAS dan JAWAPAN.
Ia hadir sebagai sebuah sentuhan halus dan praktis kepada para pengshuhada, pencari serta perindu 'rasa' kecerdasan dan kehadiran penuh jiwanya terhadap yang maha pencipta, Al Khaliq sebagai sumber ketenangan, kedamaian, kesucian jiwa, kebahagian dan keajaiban. Ia hadir di saat kegersangan itu tiba ke puncaknya. Ia hadir umpama Nur Illahi yang agung menyinari insan yang lemah longlai kegersangan dalam ukuran kosmos penciptaannya dari unsur tanah yang memiliki unsur cahaya malaki namun membawa naluri nafsu hayawani. Ia hadir kerana, Dialah yang maha Agung, maha Tinggi dan maha Besar pun begitu sekaligus Dialah yang maha Dekat, maha Mendengar dan Maha Melihat.Manusia dengan segala kekurangan dan kelemahan berusaha segenap fitrah penciptaannya untuk mendekatkan dirinya kepada 'akar' diri yang asal dan sejati. Meraba dalam kegelapan mencari 'dirinya' yang seterusnya akan membawanya kepada sang penciptanya. Manusia mencari kekuatan jalan spiritualiti hidup, kekuatan rohaniah, ketenangan batiniah dan seterusnya kebahagiaan hakiki melalui pelbagai praktis dan ritual semada berbentuk keagamaan atau seni keharmonian diri semata. Tidak kurang juga yang mencari titik ketenangan dan kedamaian ini melalui jalan-jalan pintas yang berwadahkan keseronokan dan hiburan, namun kekecewaan demi kekecewaan akan membawa kembara jiwanya kembali ke asal pencarian. Tidak boleh tidak, manusia kembali kepada fitrahnya mencari agama sebagai sumber jalan spiritualiti yang menjanjikan JALAN TASAUF untuk dirinya yang keliru di dalam kembara pencarian diri yang dalam.
Adapun jalan tasauf itu adalah sebuah kembara perenungan ke alam diri. Padanya ada jalan membersihkan diri dan melihat diri dengan berbagai macam perlatihan (riadhatun nafs) sehingga semakin lama kembaranya semakin terbukalah selubung diri lalu timbullah padanya NUR atau cahaya yang gemilang. Seterusnya cahaya inilah yang dapat menembuskan hijabnya yang menyelubungi jalan-jalan kehidupannya selama ini.Ahli falsafah; Sokrates pernah berkata: “Kenalilah dirimu!” manakala ahli-ahli tasauf pula berpatah: “Barangsiapa yang mengenal akan dirinya, nescaya kenallah ia akan Tuhannya.”Ramai ilmuan bersetuju bahawa Jalan Tasauf asalnya berakarkan 'perasaan', namun menggunakan kekuatan Iradat atau keinginan yang tinggi terhadapnya. Walau bagaimana tinggi dan tebalnya tembok halangan dan cabaran dalam perjalanan seseorang di dalam jalan tasaufnya (jalan mencari diri) yang membataskan dirinya mengenal diri dan tuhannya; namun kerana kekuatan iradat, dapatlah dinding itu ditembus atau dirobohkan untuk dirinya menikmati anugerah pengalaman perjalanannya itu.
Kerangka pemikiran kritis dengan berpandukan prinsip 'sebab-akibat' semata belum tentu dapat mengurai dan menjawap segala persoalan perasaan yang bakal timbul sepanjang laluan seseorang di dalam jalan tasaufnya itu. Ia tidak berkehendakkan kepada 'intelek' semata-mata kerana yang pasti para intelek tidak dapat menerima 'cara tasauf' bulat-bulat namun mereka pasti sulit untuk membantah atau menolaknya. Tidak hairanlah betapa ramainya dikalangan 'ummi' yang tidak pandai membaca dan menulis telah mencapai kejayaan di dalam perjalanan tasauf mereka. Serta tak kurang juga kehairanan para intelek untuk mengupas walhal mengapa bisa terjadinya fenomena tersebut.Di zaman moden yang seakan-akan jemu dan mengejek akan wadah yang berorientasikan 'kerohanian', terutamanya oleh ilmuan yang menggelarkan diri mereka terpelajar sering mengatakan soal-soal kerohanian ini kolot dan ketinggalan. Bagi mereka, jalan tasauf ini adalah revolusi 'zaman tengah' atau zaman berkuasanya ahli agama suatu masa dahulu. Di zaman yang serba canggih ini, kekuatan kebendaan serta kedudukan material dan intelek akan menentukan kebahagiaan dan kesempurnaan hidup. Kumpulan pengamal tariqat dengan majlis suluknya, ahli perawatan kerohanian dengan air jampinya, dukun-dukun, pengamal terapi alami (seperti REIKI) serta tukang tenung dan 'ahli falakiyah'; dilabelkan sebagai kumpulan yang ketinggalan dan kolot. Hadirnya kumpulan sebegini tidak diendah, dihormati, dialu-alukan atau diiktiraf. Pun begitu ia tidak juga dibantah, ditolak atau dinafikan kehadiran serta keperluannya kerana yang pasti tatkala 'mereka-mereka ini' perlu akannya pasti mereka akan mencarinya.
REIKI atau apapun sebutan namanya, menceritakan tentang TENAGA ALAM dan perhubungan akrabnya dengan alam diri. Walau asalannya bersifat ilmu 'Seni Penyembuhan Diri', namun kontek penyembuhan diri yang terungkap di dalamnya amat luas meliputi alam jasmaniah dan rohaniah. Kembara di dalam ilmu REIKI pastinya tidak lengkap apabila hanya berkitar tentang penyembuhan derita sakit fizikal kerna yang pasti manusia itu sendiri tentu ada derita psikologi dalam pelbagai sudut kehidupannya.
Haruslah diingat; Jalan Tasauf itu bukanlah tergambar seperti kumpulan yang dinyatakan di atas. Jalan kerohanian bukanlah milik kumpulan atau berlabelkan jenis amalan. Ia adalah 'sebuah perjalanan' yang dipegang oleh seseorang. Jalan Tasauf adalah intipati sebuah keinsafan bahawa alam ini bukanlah semata-mata terdiri dari benda. Ia bukan bersandarkan Teori Evolusi oleh Darwin yang miskipun diperakui dan diterima pakai di zaman ini, kerana yang pasti teori tersebut belum habis boleh mengupas tentang hidup itu sendiri, baik hidup pada struktur sel atau hidup yang ada pada alam. Jalan Tasauf adalah sebuah kembara yang membawa seseorang kepada sebuah pengalaman berkenalan dengan alam dirinya yang seterusnya menyah kodkan belenggu jiwanya yang secara fitrah dahagakan kasih sayang tanpa batas dari yang maha pencipta lagi maha agung.
Samaada hakikat kecerdasan spiritual pada alam diri seseorang disedari atau tidak, sistem itu telah sedia ada dan telah dimuat turunkan oleh yang maha agung untuk menjalankan tugasannya menjaga alam diri seseorang. Ilmu Reiki bukan hanya mengajak seseorang merenung kepada penciptaan alam, ia juga menyentuh jiwa-jiwa ini dengan hakikat kecerdasan roh yang menjadi inti kepada setiap benda. Melalui Reiki, seseorang akan melewati perjalanan spiritualitinya menuju ke alam dirinya yang kemudian pasti menemukan ia pada hakikat penciptaannya.
Pun begitu, hanya masa yang akan menentukan cepat atau lambatnya seseorang yang mendalami ilmu Reiki untuk bertemu akan Jalan tasaufnya. Hanya masa dan keadaan yang akan membawa kembara Reiki seseorang ke tahap pemahaman yang halus lagi mendalam tentang keakraban Reiki dan Tasauf (ilmu mengenal diri). Segalanya ditentukan oleh kepasrahan dan iradat (kemahuan) sang pengamalnya. Sesungguhnya yang mengatur semuanya adalah Allah! Alam berjalan sempurna dan teratur, Allah yang mengaturnya! Alam berjalan menurut undang-undang, Allahlah HAKIMnya! Alam dihiaskan dengan keindahan, Allahlah yang menebarkan Keindahan itu!Permulaan perjalanan dinamakan REIKI, akhir perjalanan dinamai DIRI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan