Pageviews

Isnin, 3 Februari 2014

Ilmu itu dari ALLAH - REIKI



02 Rabiul Akhir 1435.

Sejak awal pemulaan tamadun lagi, manusia sering dan sentiasa mencari penawar kepada kesakitan yang dialaminya melalui pelbagai seni kaedah penyembuhan. Namun, terapi penyembuhan bukanlah hanya remedi untuk sihat tubuh badan, ia juga boleh menjadi asas kepada kesedaran dan pembentukan kerohanian seseorang. Ia memiliki 'kuasa' untuk mengubah hidup seseorang ke arah kehidupan yang lebih makmur dan sempurna. Ia bukan hanya menyembuhkan tubuh yang kesakitan, malah ia memberi kelegaan kepada jiwa yang resah menahan kesakitan.
Tidak kiralah apapun nama atau jenis terapi tersebut, intipati dan rasionalnya adalah sama iaitu; mengembalikan kegemilangan sistem manusia. Malah sesetengah kaedah terapi amat sukar untuk dijelaskan secara terperinci bagaimana ia bekerja. Umpama memiliki 'rahsia' tersendiri. Bahkan pada hari ini, dari segi intelektual sekalipun tidak dapat menjelaskan erti 'kuasa' penyembuhan yang sebenarnya.
Umpama 'kuasa' tenaga elektrik dirumah, kita mungkin mengambil masa 2 tahun untuk memahami secara saintifik bagaimana dengan hanya memetik suis di dinding – lampu di syiling boleh menyala. Namun, kita tidaklah perlu bersusah payah untuk memahaminya, kita hanya perlu memanfaatkannya sahaja untuk berbagai kegunaan kita.

Secara umum Reiki adalah suatu teknik, bersifat teknikal dalam menyampaikan aplikasinya. Ia disusun sempurna oleh pengasasnya iaitu Dr Mikao Usui pada 1920an menerusi ilmu-ilmu yang beliau pelajari sepanjang pencariannya. Juga ia adalah melalui pengalaman mistik diakhir hari meditasinya di sebuah gunung di Jepun dalam melengkapkan pencarian terhadap suatu teknik yang dapat memberi penyembuhan melalui teknik sentuhan tangan. Kebanyakkan pengamal Reiki bersependapat bahawa pengalaman mistik tersebut adalah suatu bentuk ilham yang mengandungi ilmu-ilmu penyembuhan yang diturunkan semula oleh Yang Maha Pencipta kepada hambaNya yang mencari dan meminta.

Walaupun azalinya ia bersifat teknikal ataupun seni, namun melalui pengamatan yang mendalam, seni penyembuhan Reiki merupakan suatu ilmu yang bersifat dalaman dan halus. Ia merupakan siri ilmu pengenalan yang akan membantu pengamalnya mengenal, memahami dan menghayati tentang makanisme kejadian manusia. Mengenal, memahami dan menghayati peranan tiga unsur utama manusia iaitu Minda, Tubuh dan Roh yang merupakan asas kesempurnaan, keseimbangan dan keharmonian sesebuah kehidupan. Pengamalnya akan memahami maksud dan peranan ‘Tenaga kehidupan’ atau yang sering disebut sebagai ‘Chi’ dalam pelbagai aspek keperluan hidup. Seterusnya pengamalnya akan mendalami teknik-teknik menjana, menjaga dan mengalirkan ‘Chi’ bagi tujuan memiliki keseimbangan yang harmoni dalam hidupnya. Namun, perlulah diingatkan di sini; Reiki bukanlah satu-satunya ilmu yang membicarakan tentang segala yang berkaitan tentang Chi, Minda, Tubuh dan Roh.
Reiki adalah suatu bentuk penyembuhan alternatif yang menggunakan tenaga kehidupan (life force) yang juga dikenali sebagai Prana di dalam bahasa Sanskrit, Chi di dalam bahasa Cina, Ki di dalam bahasa Jepun, Qudrah / Tenaga Illahiah dalam Islam. Secara umum, Reiki menggunakan teknik sentuhan tangan pengamalnya ke tubuh penerima bagi mengalirkan energi penyembuhan. Di Barat, ia lebih dikenali sebagai satu kaedah ataupun terapi yang dapat menggurangkan tahap tekanan atau stres.
Perkataan Reiki terdiri dari dua suku kata iaitu REI dan KI. Rei (sebutan ray) membawa makna Tenaga Kehidupan Semesta (universal life force energy) dan Ki bermaksud Tenaga Vital Individu. Pengamal Reiki adalah medium perantara yang menerima masuk tenaga universal lalu mengalirkannya semula keluar melalui sistem tubuhnya ke tempat yang memerlukan (pesakit / penerima). Dalam kata lain, pengamal hanyalah agen pengalir tenaga atau medium perantara yang menyampaikan tenaga kehidupan semesta ini ke tempat yang memerlukannya; samada pada dirinya sendiri mahupun pada orang lain, dekat ataupun jauh; bagi mengharmonikan apa juga masalah samada permasalahan minda, emosi, tubuh atau rohani.
Secara tidak langsung, fakta ini juga menjelaskan bahawa tenaga-tenaga yang dihasilkan bukanlah dari diri pengamal tersebut kerana jika ini berlaku, nescaya tenaga pengamal akan berkurangan atau kehabisan yang akan mengakibatkan pengamalnya menjadi lemah dan tidak bertenaga.
“Merasai atau mengamati tenaga Reiki adalah pengalaman berkomunikasi dengan gelombang Kasih Sayang dari alam kepada seluruh kehidupan. Ia umpama menghayati anugerah kekayaan penciptaan yang Maha Kuasa kepada seluruh makhlukNya dan alamNya. Ar-Rahman Yang Maha Pemurah telah menyediakan tenaga penyembuhan semulajadi yang sediada untuk diguna pakai oleh sekelian makhluk. Ar-Rahim yang Maha Penyayang mengizinkan setiap makhluknya mengekses tenaga ini tanpa perlu meminta-minta atau bersyarat. Ilmu Reiki membantu pengamalnya menghayati anugerah ini, mengaplikasikannya secara optimum dan menjiwai nikmat penyembuhan alami dengan penuh pasrah dan kesyukuran.”
Sama ada saudara hidup serba kekurangan atau dalam kemewahan, sama ada saudara mencari sesuatu dari segi kerohanian, atau minda hanya tertumpu kepada kebendaan, atau sama ada saudara dalam belenggu kekecewaan atau sedang bangkit untuk melakukan perubahan; Reiki memberi kekuatan dan menyemarakkannya.
Reiki menyembuh pada semua peringkat, pada fizikal, mental (minda), emosi serta kerohanian dan memberi sokongan keupayaan semulajadi tubuh untuk sembuh dengan sendirinya. 

Penyembuhan Reiki bukanlah satu bentuk penyembuhan yang konfrontasi malah ianya menyembuhkan pelbagai masalah dan trauma dengan cara yang lembut dan halus. Ia juga bukanlah berasal daripada mana-mana mazhab atau fahaman, ia telah dipraktiskan oleh pelbagai golongan dari pelbagai agama, adat dan kebudayaan. Saudara tidak perlu mengikut mana-mana adat atau sistem kepercayaan untuk mengalirkan Reiki atau untuk menikmati manfaatnya. Apa yang perlu adalah kehendak dan kemahuan untuk menyembuh dan disembuh oleh tenaga suci ini.

‘Semua cakrawala datangnya dari rasa kecintaan, dan kepada kecintaanlah semuanya kembali. Dari kebahagiaan semua kejadian ini hadir, dengannya (kebahagiaan) mereka hidup, dan kepadanya (kebahagiaan) mereka kembali’. - TAITTIRIYA UPANISHAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan