Pageviews

Rabu, 26 Februari 2014

SUNNAH dalam SOLAT RASULULLAH SAW

26 Rabiul Akhir 1435.

Sekadar perkongsian, agar solat kita mengikut cara Rasulullah SAW. Seperti hadis yang mahsyur: "Solatlah sepertimana kamu melihat aku solat". Moga dengan perkongsian ini dapat meningkatkan ilmu & dapat memperbaiki solat kita sebelum ini. InshaAllah.

 

Isnin, 24 Februari 2014

Niatnya...


24 Rabiul Akhir 1435.

-> Suami yang mencuci baju sendiri bukan kerana ingin menyenangkan isterinya dan bukan kerana takut tangan isterinya menjadi kasar, tetapi kerana RASULULLAH SAW melakukannya.

-> Suami tidak bersuara keras pada isterinya bukan kerana takut dengan isterinya akan marah dan pergi dari rumah, tetapi kerana RASULULLAH SAW melakukannya.

-> Suami sabar dan diam ketika isterinya menuntut hal-hal di luar batas kemampuannya bukan kerana takut ditinggalkan isterinya, tetapi kerana RASULULLAH SAW melakukannya.

-> Suami tersenyum melihat isterinya cemburu kepada perempuan lain bukan kerana takut kepada isterinya, tetapi kerana RASULULLAH SAW melakukannya.

-> Suami memakan makanan yang dimasak oleh isterinya masin atau pun tawar bukan kerana menjadi romantis di depan isterinya, tetapi kerana RASULULLAH SAW menghargai masakan isterinya.

-> Suami yang mengumpulkan dana untuk disimpan isterinya bukannya kerana bodoh dalam mengatur kewangan, tetapi kerana RASULULLAH SAW melakukannya.

-> Suami merawat anak-anak kecil ketika mereka sakit bukan kerana mereka ingin menjadi perawat peribadi, tetapi kerana RASULULLAH SAW melakukannya.

Jadi intipatinya..

Berhentilah melakukan sesuatu kerana merasakan yang isteri kita adalah nafas kita, jantung hati kita, kehidupan kita, itu sesuatu hal yang aneh yang cuba dikaitkan dengan sesuatu yang romantis. Lelaki yang romantis bukan yang selalu menurut semua kemahuan isterinya.

LAKUKANLAH!!! Jika RASULULLAH SAW melakukannya. Tuntunannya kerana RASULULLAH SAW.

Maka hal itu akan menjadi ibadah. Namun bila tujuannya hanya kerana isteri kita, ianya hanya mendapatkan redha isteri bukannya REDHA dari Allah SWT.

Maka berhatilah-hatilah, kerana ibadah itu yang dinilainya adalah NIATNYA…!!
"Innamal 'amalu binniat"

Selasa, 18 Februari 2014

Fakta @ Auta...


Berilah KeBAHAGIAN ini....

18 Rabiul Akhir 1435
18 Februari 2014.

Perjalanan 4 tahun bersama banyak mengajar erti kehidupan. Diri ini masih lagi belajar untuk lebih mengenali hatinya. Walaupun terasa lamanya masa, tetapi perjalanan ini baru bermula.

Diri ini masih banyak kekurangannya. Dirinya telah menambah kekurangan tersebut. Dirinya mempunyai kelebihan dan kehebatan yang kadang-kadang tidak terfikir oleh akal. Benarlah, jika kita didalam kekurangan, pasangan kita ada kelebihan diatas kekurangan kita.

Terima kasih sayang atas kehadiran ini. Terima kasih kerana sudi menjadi permaisuri dalam kehidupan ini dan hingga ke syurga, biiznillah... InshaAllah.

Terima kasih kerana menjadi ummi buat anak-anak kita. Moga mereka menjadi anak-anak yang solehah dan mendoakan kedua ibubapanya.

Moga ikatan yang terbina pada 4 tahun dahulu terus utuh hingga ke syurga. Menjadi keluarga yang sakinah dunia dan akhirat. Sentiasa didalam rahmat dan redha Allah. Sentiasa mendapat hidayah Allah agar terus istiqomah dalam beribadah kepadanya.

Agar diri ini menjadi suami dan abi yang soleh. Yang dapat membawa keluarga ke syurga Allah. Membimbing dengan iman dan Islam. Mohon doa mendoakan dari kalian semua yang mengenali diri kami dan yang membaca blog ini. Jazakallahu khairan kathira.

Moga kita semua sentiasa dalam REDHA Allah. Aamiin...

Berpagi-pagilah kita


Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : “Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di sisi orang yang BERAQAL”.


(Kredit: FB Islam Itu Indah)

Isnin, 17 Februari 2014

Jika kamu SAYANGkan Dia.. maka ikutlah

MATI...

17 Rabiul Akhir 1435.

Ajal maut itu PASTI. Setiap orang akan merasainya samada dia muslim atau kafir, beriman atau tidak beriman. Maut itu pasti akan menjemput kita. Cuma kita tidak diberitakan bila tika dan saatnya tiba akan ajalnya.

Cuma tanda-tandanya sahaja yang dibentangkan kepada kita agar kita sentiasa bersedia untuk ke alam kematian. Banyak tanda-tanda yang telah dibentangkan kepada kita, samada kita ambil mudah ataupun buat tak tahu sahaja.

Antara tandanya lagi ialah, cuba kita lihat purata kematian bagi ahli keluarga kita. Rata-ratanya mati dalam lingkungan berapa tahun. Kemudian lihat pula diri kita, adakah sudah hampir atau masih jauh lagi. Tapi tidak mustahil jika ianya jauh, mati itu tidak kira masa, tempat & tikanya. Jika tiba ajalnya, tidak akan dilambatkan sesaat mahupun dicepatkan.

Sentiasalah kita menambah amalan bekalan kita buat bekal kesana. Kelak bila kita dijemput pulang, bimbang-bimbang bekalan kita tidak mencukupi untuk kehidupan yang abadi di akhirat kelak. Sentiasalah mengingati mati, kerana dengan mengingati mati akan menghilangkan rasa kelazatan kita pada dunia.

Moga hati kita tidak berbolak balik dan dijaga oleh Allah agar sentiasa beriman kepada NYA.

Khamis, 13 Februari 2014

Maka.... ISTIGHFAR lah


Al-Qurtubi meriwayatkan cerita Ibni Shabih.
Pada suatau hari ada seorang lelaki mengadu kepada Hasan al-Basri tentang masa kemarau yang menimpanya. Hasan al-Basri lantas berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Selanjutnya seorang lelaki lain mengadu akan kemiskinan yang menimpanya. Hasan al-Basri lalu berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Ada pula lelaki lai berkata : “Doakanlah aku supaya Allah s.w.t memberiku anak.” Hasan al-Basri kemudian berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Datang lagi lelaki lain yang mengadu tentang kebunnya yang kekeringan. Hasan al-Basri pun berkata kepadanya: “Beristighfarlah kepada Allah s.w.t.”

Ar-Rabi lantas berkata kepadanya: “Beberapa orang lelaki mendatangimu mengadu pelbagai jenis perkara tetapi kamu menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!”

Hasan al-Basri menjawab: “ Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. 

Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman:
 
“Maka aku katakan kepada mereka: "Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh: 10-12)

Ada seorang lelaki berkata kepada Hasan al-Basri : 

“Apakah seseorang tidak akan berasa malu terhadap Tuhannya? Bukankah dia melakukan perbuatan dosa lalu memohon keampunan kemudian mengulangi perbuatan dosa lagi lalu memohon keampunan dan seterusnya?”

Hasan al-Basri lantas menjawab:

“Syaitan sangat berharap jika dia berjaya menggoda kamu. Oleh kerana itu, janganlah kamu meninggalkan istighfar selama-lamanya.”

Moga umur yang dikurniakan penuh KEBERKATAN

13 Rabiul Akhir 1435.
13 Februari 2014.


Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi SAW, Baginda bersabda : "Mahukah kamu wahai manusia (aku ajarkan) kesungguhan dalam berdoa, katakanlah : 'Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati Mu, sentiasa bersyukur kepada Mu dan baik dalam beribadah kepada Mu.' (HR: Ahmad)

Baginda Rasulullah SAW mengajar kepada umatnya agar bersungguh-sungguh dalam berdoa. Kerana doa adalah 'penghubung' antara hamba dengan Rabbnya, ia juga bertindak sebagai senjata bagi para mukminin dikala berhadapan dengan serangan dari pihak musuh.

Dikala kehidupan yang kian mencabar, disaat serangan-serangan aqidah dari luar dengan pelbagai ajaran-ajaran yang menyesatkan. Ilmu yang cetek dan dangkal menjadikan diri akan hanyut dengan arus kesesatan di akhir zaman ini.

Dengan mensyukuri nikmat Allah ini, kita sebagai hamba perlu melaksanakan segala titah peritah ini dengan penuh ketaatan tanpa soal. Dengan segala nikmat inilah kita masih mampu hidup di bumi yang penuh tipudaya ini.

Moga diri diberikan kesihatan tubuh badan agar dapat beribadah kepada Allah. Diberikan kelapangan masa agar dapat terus ke majlis-majlis ilmu. Yang penting agar dijaga iman & Islam agar tidak tergelincir dari landasannya. Mohon doa mendoakan kepada yang sudi singgah ke blog ini.

Yuk kita...


Isnin, 3 Februari 2014

TARIQAT? Ilmu TASAWUF?


03 Rabiul Akhir 1435.

Di saat insan mula kebinggungan dalam mencari erti ketenangan jiwa di tengah-tengah kegersangan hidup metropolitan. Di saat banyaknya kerinduan yang tak putus-putus mencari kedamaian sejati yang kian hilang dan alpa di dunia yang serba materialistik. Di saat seni kerehatan diri dan perlatihan perenungan jiwa, peta pemikiran serta keheningan sukma semakin suram dan sunyi dimamah gelombang kehidupan yang tiada henti bergolak; KEHADIRAN sebuah seni penyembuhan jiwa bertemakan spiritualiti moden bernama REIKI ini seolah-olah memberikan NAFAS dan JAWAPAN.
Ia hadir sebagai sebuah sentuhan halus dan praktis kepada para pengshuhada, pencari serta perindu 'rasa' kecerdasan dan kehadiran penuh jiwanya terhadap yang maha pencipta, Al Khaliq sebagai sumber ketenangan, kedamaian, kesucian jiwa, kebahagian dan keajaiban. Ia hadir di saat kegersangan itu tiba ke puncaknya. Ia hadir umpama Nur Illahi yang agung menyinari insan yang lemah longlai kegersangan dalam ukuran kosmos penciptaannya dari unsur tanah yang memiliki unsur cahaya malaki namun membawa naluri nafsu hayawani. Ia hadir kerana, Dialah yang maha Agung, maha Tinggi dan maha Besar pun begitu sekaligus Dialah yang maha Dekat, maha Mendengar dan Maha Melihat.
Manusia dengan segala kekurangan dan kelemahan berusaha segenap fitrah penciptaannya untuk mendekatkan dirinya kepada 'akar' diri yang asal dan sejati. Meraba dalam kegelapan mencari 'dirinya' yang seterusnya akan membawanya kepada sang penciptanya. Manusia mencari kekuatan jalan spiritualiti hidup, kekuatan rohaniah, ketenangan batiniah dan seterusnya kebahagiaan hakiki melalui pelbagai praktis dan ritual semada berbentuk keagamaan atau seni keharmonian diri semata. Tidak kurang juga yang mencari titik ketenangan dan kedamaian ini melalui jalan-jalan pintas yang berwadahkan keseronokan dan hiburan, namun kekecewaan demi kekecewaan akan membawa kembara jiwanya kembali ke asal pencarian. Tidak boleh tidak, manusia kembali kepada fitrahnya mencari agama sebagai sumber jalan spiritualiti yang menjanjikan JALAN TASAUF untuk dirinya yang keliru di dalam kembara pencarian diri yang dalam.
Adapun jalan tasauf itu adalah sebuah kembara perenungan ke alam diri. Padanya ada jalan membersihkan diri dan melihat diri dengan berbagai macam perlatihan (riadhatun nafs) sehingga semakin lama kembaranya semakin terbukalah selubung diri lalu timbullah padanya NUR atau cahaya yang gemilang. Seterusnya cahaya inilah yang dapat menembuskan hijabnya yang menyelubungi jalan-jalan kehidupannya selama ini.
Ahli falsafah; Sokrates pernah berkata: “Kenalilah dirimu!” manakala ahli-ahli tasauf pula berpatah: “Barangsiapa yang mengenal akan dirinya, nescaya kenallah ia akan Tuhannya.”Ramai ilmuan bersetuju bahawa Jalan Tasauf asalnya berakarkan 'perasaan', namun menggunakan kekuatan Iradat atau keinginan yang tinggi terhadapnya. Walau bagaimana tinggi dan tebalnya tembok halangan dan cabaran dalam perjalanan seseorang di dalam jalan tasaufnya (jalan mencari diri) yang membataskan dirinya mengenal diri dan tuhannya; namun kerana kekuatan iradat, dapatlah dinding itu ditembus atau dirobohkan untuk dirinya menikmati anugerah pengalaman perjalanannya itu. 
Kerangka pemikiran kritis dengan berpandukan prinsip 'sebab-akibat' semata belum tentu dapat mengurai dan menjawap segala persoalan perasaan yang bakal timbul sepanjang laluan seseorang di dalam jalan tasaufnya itu. Ia tidak berkehendakkan kepada 'intelek' semata-mata kerana yang pasti para intelek tidak dapat menerima 'cara tasauf' bulat-bulat namun mereka pasti sulit untuk membantah atau menolaknya. Tidak hairanlah betapa ramainya dikalangan 'ummi' yang tidak pandai membaca dan menulis telah mencapai kejayaan di dalam perjalanan tasauf mereka. Serta tak kurang juga kehairanan para intelek untuk mengupas walhal mengapa bisa terjadinya fenomena tersebut.
Di zaman moden yang seakan-akan jemu dan mengejek akan wadah yang berorientasikan 'kerohanian', terutamanya oleh ilmuan yang menggelarkan diri mereka terpelajar sering mengatakan soal-soal kerohanian ini kolot dan ketinggalan. Bagi mereka, jalan tasauf ini adalah revolusi 'zaman tengah' atau zaman berkuasanya ahli agama suatu masa dahulu. Di zaman yang serba canggih ini, kekuatan kebendaan serta kedudukan material dan intelek akan menentukan kebahagiaan dan kesempurnaan hidup. Kumpulan pengamal tariqat dengan majlis suluknya, ahli perawatan kerohanian dengan air jampinya, dukun-dukun, pengamal terapi alami (seperti REIKI) serta tukang tenung dan 'ahli falakiyah'; dilabelkan sebagai kumpulan yang ketinggalan dan kolot. Hadirnya kumpulan sebegini tidak diendah, dihormati, dialu-alukan atau diiktiraf. Pun begitu ia tidak juga dibantah, ditolak atau dinafikan kehadiran serta keperluannya kerana yang pasti tatkala 'mereka-mereka ini' perlu akannya pasti mereka akan mencarinya. 

REIKI atau apapun sebutan namanya, menceritakan tentang TENAGA      ALAM dan perhubungan akrabnya dengan alam diri. Walau asalannya bersifat ilmu 'Seni Penyembuhan Diri', namun kontek penyembuhan diri yang terungkap di dalamnya amat luas meliputi alam jasmaniah dan rohaniah. Kembara di dalam ilmu REIKI pastinya tidak lengkap apabila hanya berkitar tentang penyembuhan derita sakit fizikal kerna yang pasti manusia itu sendiri tentu ada derita psikologi dalam pelbagai sudut kehidupannya.
Haruslah diingat; Jalan Tasauf itu bukanlah tergambar seperti kumpulan yang dinyatakan di atas. Jalan kerohanian bukanlah milik kumpulan atau berlabelkan jenis amalan. Ia adalah 'sebuah perjalanan' yang dipegang oleh seseorang. Jalan Tasauf adalah intipati sebuah keinsafan bahawa alam ini bukanlah semata-mata terdiri dari benda. Ia bukan bersandarkan Teori Evolusi oleh Darwin yang miskipun diperakui dan diterima pakai di zaman ini, kerana yang pasti teori tersebut belum habis boleh mengupas tentang hidup itu sendiri, baik hidup pada struktur sel atau hidup yang ada pada alam. Jalan Tasauf adalah sebuah kembara yang membawa seseorang kepada sebuah pengalaman berkenalan dengan alam dirinya yang seterusnya menyah kodkan belenggu jiwanya yang secara fitrah dahagakan kasih sayang tanpa batas dari yang maha pencipta lagi maha agung.


Samaada hakikat kecerdasan spiritual pada alam diri seseorang disedari atau tidak, sistem itu telah sedia ada dan telah dimuat turunkan oleh yang maha agung untuk menjalankan tugasannya menjaga alam diri seseorang. Ilmu Reiki bukan hanya mengajak seseorang merenung kepada penciptaan alam, ia juga menyentuh jiwa-jiwa ini dengan hakikat kecerdasan roh yang menjadi inti kepada setiap benda. Melalui Reiki, seseorang akan melewati perjalanan spiritualitinya menuju ke alam dirinya yang kemudian pasti menemukan ia pada hakikat penciptaannya.

Pun begitu, hanya masa yang akan menentukan cepat atau lambatnya seseorang yang mendalami ilmu Reiki untuk bertemu akan Jalan tasaufnya. Hanya masa dan keadaan yang akan membawa kembara Reiki seseorang ke tahap pemahaman yang halus lagi mendalam tentang keakraban Reiki dan Tasauf (ilmu mengenal diri). Segalanya ditentukan oleh kepasrahan dan iradat (kemahuan) sang pengamalnya. Sesungguhnya yang mengatur semuanya adalah Allah! Alam berjalan sempurna dan teratur, Allah yang mengaturnya! Alam berjalan menurut undang-undang, Allahlah HAKIMnya! Alam dihiaskan dengan keindahan, Allahlah yang menebarkan Keindahan itu!Permulaan perjalanan dinamakan REIKI, akhir perjalanan dinamai DIRI.

Ilmu itu dari ALLAH - REIKI



02 Rabiul Akhir 1435.

Sejak awal pemulaan tamadun lagi, manusia sering dan sentiasa mencari penawar kepada kesakitan yang dialaminya melalui pelbagai seni kaedah penyembuhan. Namun, terapi penyembuhan bukanlah hanya remedi untuk sihat tubuh badan, ia juga boleh menjadi asas kepada kesedaran dan pembentukan kerohanian seseorang. Ia memiliki 'kuasa' untuk mengubah hidup seseorang ke arah kehidupan yang lebih makmur dan sempurna. Ia bukan hanya menyembuhkan tubuh yang kesakitan, malah ia memberi kelegaan kepada jiwa yang resah menahan kesakitan.
Tidak kiralah apapun nama atau jenis terapi tersebut, intipati dan rasionalnya adalah sama iaitu; mengembalikan kegemilangan sistem manusia. Malah sesetengah kaedah terapi amat sukar untuk dijelaskan secara terperinci bagaimana ia bekerja. Umpama memiliki 'rahsia' tersendiri. Bahkan pada hari ini, dari segi intelektual sekalipun tidak dapat menjelaskan erti 'kuasa' penyembuhan yang sebenarnya.
Umpama 'kuasa' tenaga elektrik dirumah, kita mungkin mengambil masa 2 tahun untuk memahami secara saintifik bagaimana dengan hanya memetik suis di dinding – lampu di syiling boleh menyala. Namun, kita tidaklah perlu bersusah payah untuk memahaminya, kita hanya perlu memanfaatkannya sahaja untuk berbagai kegunaan kita.

Secara umum Reiki adalah suatu teknik, bersifat teknikal dalam menyampaikan aplikasinya. Ia disusun sempurna oleh pengasasnya iaitu Dr Mikao Usui pada 1920an menerusi ilmu-ilmu yang beliau pelajari sepanjang pencariannya. Juga ia adalah melalui pengalaman mistik diakhir hari meditasinya di sebuah gunung di Jepun dalam melengkapkan pencarian terhadap suatu teknik yang dapat memberi penyembuhan melalui teknik sentuhan tangan. Kebanyakkan pengamal Reiki bersependapat bahawa pengalaman mistik tersebut adalah suatu bentuk ilham yang mengandungi ilmu-ilmu penyembuhan yang diturunkan semula oleh Yang Maha Pencipta kepada hambaNya yang mencari dan meminta.

Walaupun azalinya ia bersifat teknikal ataupun seni, namun melalui pengamatan yang mendalam, seni penyembuhan Reiki merupakan suatu ilmu yang bersifat dalaman dan halus. Ia merupakan siri ilmu pengenalan yang akan membantu pengamalnya mengenal, memahami dan menghayati tentang makanisme kejadian manusia. Mengenal, memahami dan menghayati peranan tiga unsur utama manusia iaitu Minda, Tubuh dan Roh yang merupakan asas kesempurnaan, keseimbangan dan keharmonian sesebuah kehidupan. Pengamalnya akan memahami maksud dan peranan ‘Tenaga kehidupan’ atau yang sering disebut sebagai ‘Chi’ dalam pelbagai aspek keperluan hidup. Seterusnya pengamalnya akan mendalami teknik-teknik menjana, menjaga dan mengalirkan ‘Chi’ bagi tujuan memiliki keseimbangan yang harmoni dalam hidupnya. Namun, perlulah diingatkan di sini; Reiki bukanlah satu-satunya ilmu yang membicarakan tentang segala yang berkaitan tentang Chi, Minda, Tubuh dan Roh.
Reiki adalah suatu bentuk penyembuhan alternatif yang menggunakan tenaga kehidupan (life force) yang juga dikenali sebagai Prana di dalam bahasa Sanskrit, Chi di dalam bahasa Cina, Ki di dalam bahasa Jepun, Qudrah / Tenaga Illahiah dalam Islam. Secara umum, Reiki menggunakan teknik sentuhan tangan pengamalnya ke tubuh penerima bagi mengalirkan energi penyembuhan. Di Barat, ia lebih dikenali sebagai satu kaedah ataupun terapi yang dapat menggurangkan tahap tekanan atau stres.
Perkataan Reiki terdiri dari dua suku kata iaitu REI dan KI. Rei (sebutan ray) membawa makna Tenaga Kehidupan Semesta (universal life force energy) dan Ki bermaksud Tenaga Vital Individu. Pengamal Reiki adalah medium perantara yang menerima masuk tenaga universal lalu mengalirkannya semula keluar melalui sistem tubuhnya ke tempat yang memerlukan (pesakit / penerima). Dalam kata lain, pengamal hanyalah agen pengalir tenaga atau medium perantara yang menyampaikan tenaga kehidupan semesta ini ke tempat yang memerlukannya; samada pada dirinya sendiri mahupun pada orang lain, dekat ataupun jauh; bagi mengharmonikan apa juga masalah samada permasalahan minda, emosi, tubuh atau rohani.
Secara tidak langsung, fakta ini juga menjelaskan bahawa tenaga-tenaga yang dihasilkan bukanlah dari diri pengamal tersebut kerana jika ini berlaku, nescaya tenaga pengamal akan berkurangan atau kehabisan yang akan mengakibatkan pengamalnya menjadi lemah dan tidak bertenaga.
“Merasai atau mengamati tenaga Reiki adalah pengalaman berkomunikasi dengan gelombang Kasih Sayang dari alam kepada seluruh kehidupan. Ia umpama menghayati anugerah kekayaan penciptaan yang Maha Kuasa kepada seluruh makhlukNya dan alamNya. Ar-Rahman Yang Maha Pemurah telah menyediakan tenaga penyembuhan semulajadi yang sediada untuk diguna pakai oleh sekelian makhluk. Ar-Rahim yang Maha Penyayang mengizinkan setiap makhluknya mengekses tenaga ini tanpa perlu meminta-minta atau bersyarat. Ilmu Reiki membantu pengamalnya menghayati anugerah ini, mengaplikasikannya secara optimum dan menjiwai nikmat penyembuhan alami dengan penuh pasrah dan kesyukuran.”
Sama ada saudara hidup serba kekurangan atau dalam kemewahan, sama ada saudara mencari sesuatu dari segi kerohanian, atau minda hanya tertumpu kepada kebendaan, atau sama ada saudara dalam belenggu kekecewaan atau sedang bangkit untuk melakukan perubahan; Reiki memberi kekuatan dan menyemarakkannya.
Reiki menyembuh pada semua peringkat, pada fizikal, mental (minda), emosi serta kerohanian dan memberi sokongan keupayaan semulajadi tubuh untuk sembuh dengan sendirinya. 

Penyembuhan Reiki bukanlah satu bentuk penyembuhan yang konfrontasi malah ianya menyembuhkan pelbagai masalah dan trauma dengan cara yang lembut dan halus. Ia juga bukanlah berasal daripada mana-mana mazhab atau fahaman, ia telah dipraktiskan oleh pelbagai golongan dari pelbagai agama, adat dan kebudayaan. Saudara tidak perlu mengikut mana-mana adat atau sistem kepercayaan untuk mengalirkan Reiki atau untuk menikmati manfaatnya. Apa yang perlu adalah kehendak dan kemahuan untuk menyembuh dan disembuh oleh tenaga suci ini.

‘Semua cakrawala datangnya dari rasa kecintaan, dan kepada kecintaanlah semuanya kembali. Dari kebahagiaan semua kejadian ini hadir, dengannya (kebahagiaan) mereka hidup, dan kepadanya (kebahagiaan) mereka kembali’. - TAITTIRIYA UPANISHAD