Pageviews

Ahad, 11 April 2021

MENJELANG RAMADHAN....

28 SYA'BAN 1442H
11 April 2021

"Mazhab manakah yang mengharuskan imam membaca Al-Quran dengan melihat henfon dalam Solat Terawih?"

Soalan ini ditanya apabila saya menulis status  tempoh hari bahawa jika imam mahu membaca surah yang panjang maka dia boleh membaca Al-Quran dengan melihat henfon. Penjelasannya seperti berikut:

Ulama terdahulu pernah membincangkan isu membaca Al-Quran dengan melihat mushaf. Oleh itu, membaca Al-Quran dengan melihat henfon boleh diqiyaskan dengan isu yang sama. 

Ulama berbeza pandangan dalam isu membaca Al-Quran dengan melihat mushaf dan terbahagi kepada tiga pandangan seperti berikut:

1. Pandangan Pertama: Membaca Al-Quran dengan melihat mushaf akan membuatkan solatnya batal. Pandangan ini dipegang oleh ulama mazhab Hanafi.

2. Pendapat Kedua: Hukumnya adalah makruh jika melihat mushaf Al-Quran dalam solat fardhu, adapun melihatnya dalam solat sunat maka hukumnya adalah harus. Pandangan ini dipegang oleh ulama mazhab Maliki.

3. Pandangan Ketiga: Hukumnya adalah harus membaca Al-Quran dengan melihat mushaf dalam solat fardu atau sunat. Pandangan ini dipegang oleh ulama mazhab Syafie dan Hanbali. 

Di antara hujah pandangan ketiga ini adalah seperti berikut:

# Riwayat Saidatina Aisyah RA yang pernah berimamkan dengan hambanya, Zakwan yang membaca mushaf. Riwayat mengatakan ia berlaku semasa Ramadhan. 

عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها أنها كان يَؤُمُّهَا عَبْدُهَا ذَكْوَانُ مِنَ المُصْحَفِ.

"Daripada 'Aisyah, Ummul Mukminin bahawa dia diimamkan oleh hambanya, Zakwan dengan menggunakan mushaf".

Hadith ini diriwayat oleh Imam Bukhari secara mu'allaq dalam Sahih Bukhari, Imam Nawawi menilai sanadnya sebagai sahih, diriwatkan juga oleh Ibnu Abi Syaibah dan Imam Baihaqi.

# Imam Al-Zuhri pernah ditanya tentang orang  yang membaca mushaf semasa qiyam Ramadhan. Beliau menjawab, "Mereka yang terbaik daripada kalangan kami membaca Al-Quran dengan melihat mushaf ketika solat pada bulan Ramadhan".

# Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab menyebut bahawa tidak batal solat bagi orang yang melihat mushaf semasa solat. 
Beliau berkata seperti berikut:

لَوْ قَرَأَ الْقُرْآنَ مِنْ الْمُصْحَفِ لَمْ تَبْطُلْ صَلَاتُهُ سَوَاءٌ كَانَ يَحْفَظُهُ أَمْ لَا بَلْ يَجِبُ عَلَيْهِ ذَلِكَ إذَا لَمْ يَحْفَظْ الْفَاتِحَةَ كَمَا سَبَقَ ، وَلَوْ قَلَّبَ أَوْرَاقَهُ أَحْيَانًا فِي صَلَاتِهِ لَمْ تَبْطُلْ، 

"Jika dia membaca Al-Quran daripada mushaf, tidak batal solatnya, samada dia hafal atau tidak. Malah, wajib baginya melakukan itu sekiranya dia tidak menghafal Al-Fatihah. Jika kadang-kadang dia membelek helaian mushaf di dalam solatnya, tidak batal solat." 

وَلَوْ نَظَرَ فِي مَكْتُوبٍ غَيْرِ الْقُرْآنِ وَرَدَّدَ مَا فِيهِ فِي نَفْسِهِ لَمْ تَبْطُلْ صَلَاتُهُ وَإِنْ طَالَ ، لَكِنْ يُكْرَهُ ، نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ فِي الْإِمْلَاءِ وَأَطْبَقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَابُ.

"Jika dia melihat selain daripada Al-Quran dan menyebut dalam dirinya, tidak batal solatnya, walaupun ia panjang, tetapi ia adalah makruh. Perkara itu dinaskan oleh Imam Syafie di dalam kitab Imla' dan dipersetujui oleh ulama mazhab Syafie."

وَهَذَا الَّذِي ذَكَرْنَاهُ مِنْ أَنَّ الْقِرَاءَةَ فِي الْمُصْحَفِ لَا تُبْطِلُ الصَّلَاةَ مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَبِي يُوسُفَ وَمُحَمَّدٍ وَأَحْمَدَ، وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ: تُبْطِلُ

"Dan inilah yang kami pernah sebut bahawa membaca daripada mushaf tidak membatalkan solat adalah pandangan mazhab kami (Syafie), mazhab Malik, Abu Yusuf, Muhammad dan Ahmad. Dan berkata Abu Hanifah: ia membatalkan."

# Khatib Al-Syirbini dalam kitab Mughni Al-Muhtaj Ila Ma'rifah Alfaz Al-Minhaj menyebut bahawa di antara sifat solat ialah wajib membaca Al-Fatihah samada secara hafalan, membaca mushaf dan sebagainya. Beliau berkata seperti berikut: 

(وَتَتَعَيَّنُ الْفَاتِحَةُ) أَيْ قِرَاءَتُهَا حِفْظًا، أَوْ نَظَرًا فِي مُصْحَفٍ أَوْ تَلْقِينًا أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (فِي كُلِّ رَكْعَةٍ) فِي قِيَامِهَا أَوْ بَدَلِهِ لِلْمُنْفَرِدِ وَغَيْرِهِ سِرِّيَّةً كَانَتْ الصَّلَاةُ أَوْ جَهْرِيَّةً فَرْضًا أَوْ نَفْلًا،

"[Dan wajib membawa Al-Fatihah] iaitu membacanya secara hafalan, melihat kepada mushaf, talqin (orang lain sebut di luar solat dan dia mengulanginya) atau seumpamanya [pada setiap rakaat] semasa mendirikannya atau gantinya, bagi solat berseorangan dan selainnya, solat secara sirriyyah atau jahriyyah, solat fardu atau sunat".

Kesimpulannya, hukumnya adalah harus membaca Al-Quran dengan melihat henfon semasa Solat Terawih dengan diqiyaskan kepada hukum membaca Al-Quran dengan melihat mushaf. Ini adalah pandangan jumhur ulama yang terdiri daripada ulama mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki.

Wallahu A'lam.

Dr. Abdel Rahmanov 
15 April 2020

Tiada ulasan:

Catat Ulasan