Pageviews

Rabu, 28 April 2021

16 PUASA

16 RAMADHAN 1442H
28 April 2021M

Sejarah Pondok Di Kedah Yang Kini Sudah Mencapai Usia 214 Tahun

Oleh : Tengku Yusuff

Di Kedah, Islam menjadi agama rasmi dalam tahun 531 Hijrah bersamaan tahun 1136 Masihi setelah Syeikh Abdullah al-Qumairi mengajarkan dua kalimah syahadah kepada Raja Kedah, Phra Ong Maha Wangsa atau Maharaja Durbar dan menukarkan nama baginda menjadi Sultan Muzaffar Syah. Bermula dari saat itu, pendidikan Islam mula berkembang sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1821, Negeri Kedah telah diserang oleh Siam dan mereka berjaya menjajah negeri ini sehingga tahun 1842. Apabila Kedah dibebaskan semula dari belenggu Siam, sebahagian dari wilayahnya telah dipecahkan untuk membentuk beberapa buah negeri kecil dan di antaranya ialah negeri Kubang Pasu.

Raja Siam menabalkan Tunku Anum menjadi Raja di Kubang Pasu sejak 1839 dan Tunku Anum berusaha memperolehi seorang mufti membantunya memerintah Kubang Pasu tersebut. Tunku Anum mendapati ada sebuah pusat pengajian agama secara pondok masih bernafas di sebuah kampung di Kubang Pasu iaitu di Kampung Malau dan meminta tuan gurunya yang bernama Tuan Guru Haji Wan Ishak bin Wan Muhammad Hashim bin Wan Abdul Baqi menjadi mufti Kubang Pasu Darul Qiam.

Setakat yang diketahui dengan pasti pondok atau pusat pengajian Tuan Guru Haji Wan Ishak di Kampung Malau ialah pusat pengajian Islam sistem pondok yang paling tua di negeri Kedah. Pondok itu dibukanya dalam tahun 1806 namun terpaksa dihentikan selepas 33 tahun berlangsung apabila beliau dilantik menjadi mufti di Kubang Pasu. Bagaimanapun, atas perbincangan beliau bersama Tunku Anum, mereka mengambil keputusan untuk membuka kembali pondok pengajian tetapi kali ini memilih ibu negeri Kubang Pasu iaitu Pulau Pisang sebagai lokasinya pada tahun 1845. Pondok di Pulau Pisang pernah menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang terulung di negeri Kedah.

Sedikit sejarah mengenai Pondok Pulau Pisang, Jitra.

Tuan Guru Haji Wan Ishak bin Hashim (1771-1871) adalah merupakan anak murid kepada Syeikh Daud al-Fathani dan Syeikh Abdul Samad al-Falembani .

Sewaktu Tuan Guru Haji Ishak mengasaskan pondok di Pulau Pisang itu, boleh dianggap pengajian pondok tersebut satu satunya yang sangat terkenal dalam kerajaan Kedah. Walau bagaimanapun setelah Tuan Guru Haji Ishak meninggal dunia pada 1871, suasana pengajian di pondok itu dalam kelesuan. 

Pondok Pulau Pisang kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan setelah cucunya Tuan Guru Haji Muhammad Saleh pulang dari Mekah dan memimpin pondok tersebut pada tahun 1894.

Tuan Guru Muhammad Haji Saleh (1864-1944 ) merupakan cucu kepada Tuan Guru Haji Ishak dari susur galur ibunya Fatimah. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinannya pernah mencapai 2,000 orang pelajar. Pada zaman itu, jumlah pelajar pondok yang capai ribuan orang di Semenanjung Melayu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa serta tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya kecuali pada zaman yang sama di Patani dan Jawa ada yang lebih ramai daripadanya.

Pondok Pulau Pisang telah melahirkan ramai ulama, cerdik pintar, cendekiawan, pemimpin dan lain-lain, bukan hanya di Malaysia saja, tetapi juga Indonesia, Patani, Myanmar, Kemboja, dan Brunei Darussalam. Antaranya ialah :

1. Tuan Guru Haji Muhammad Saleh - Cucu Tuan Guru Haji Ishaq
2. Tok Keramat Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Abu Bakar - Pondok Tasak, Langgar ( Pondok kedua tertua Kedah )
3. Tok Keramat Syeikh Musa - Anak Tuan Guru Haji Ishaq
4. Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution
5. Syeikh Ismail Bin Muhammad Saleh - Cicit Tuan Guru Haji Ishaq
6. Syeikh Ramli Bin Muhammad Saleh - Cicit Tuan Guru Haji Ishaq
7. Syeikh Qasim Bin Muhammad Saleh - Cicit Tuan Guru Haji Ishaq

Di antara pondok-pondok yang wujud dalam pertengahan abad ke 19 di Kedah ialah pondok-pondok yang didirikan oleh Tuan-tuan Guru seperti :-

1. Tuan Guru Haji Wan Ishak bin Haji Wan Hashim, Pulau Pisang
2. Tuan Guru Haji Muhammad Tamim, Anak Bukit
3.Tuan Guru Haji Muhammad Diah bin Muhammad, Tualang
4. Syeikh Abdul Rashid Pulau Bidan
5. Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Syeikh Abdul Kadir Kadi, Alor Star.

Dipercayai pondok yang ketiga didirikan di Kedah ialah Pondok Tasak yang dibangunkan oleh Tuan Guru Haji Mohammad Noor bin Haji Abu Bakar yang terletak di Langgar, Alor Setar dan seterusnya yang keempat ialah Pondok Surau Makam Langgar yang dianggarkan dibuka pada tahun 1850an oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tua.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) didapati banyak lagi pondok-pondok yang dibuka oleh ulama-ulama di Kedah. Di antara guru-guru pondok yang terbesar dizaman itu ialah :-

1. Syeikh Muhammad Taib al-Mas'ud al-Banjari, Titi Gajah, Mufti Kedah 
2. Syeikh Jusoh Keramat, Gajah Putih, Jeneri
3. Tuan Guru Haji Saleh Penaga, Limbong Kapal, Alor Star
4. Syeikh Munah Wali Keramat, Padang Pusing, Pendang
5. Tuan Guru Haji Muhammad Aji, Pumpong Alor Star
6. Syeikh Wak Sa, Kota Kuala Muda
7. Tuan Guru Haji Muhammada Rejab, Kanchut, Alor Star
8. Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Ishak, Kelonghoi, Kuala Kedah
9. Tuan Guru Haji Ahmad Tampong bin Haji Osman, Merbok
10. Syeikh Saleh, Pedu
11. Tuan Guru Haji Muhammad Alim, Sungai Nonang, Yan
12. Tuan Guru Haji Muhammad bin Umar, Tok Haji Muhammad Tua, Alor Star, Langgar
13. Tuan Guru Haji Shaari bin Haji Taha, Pondok Tasak, Langgar
14. Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Mustaffa Cik Dol, Gajah Mati, Pendang
15. Tok Faqih, Sungai Limau
16. Tuan Guru Haji Ahmad Lalang bin Haji Ali, Yan
17. Tuan Guru Haji Saleh bin Abdul Samad, Pondok Tasak, Langgar
18. Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Pondok Tasak, Langgar

Sistem persekolahan pondok bukan sahaja menjadi pusat pengajian ilmu tetapi juga menjadi pusat kepada pelbagai aktiviti kehidupan orang-orang Melayu di Kedah. Pondok-pondok di Kedah menerima pelajar-pelajar bukan sahaja dari Kedah sendiri tetapi juga dari luar negeri iaitu dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan lain-lain tetapi juga dari luar negara seperti dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

Mukim Langgar di Alor Setar yang menjadi pusat persawahan yang amat luas menjamin pertumbuhan sembilan buah persekolahan pondok di sekitarnya. Persekolahan pondok yang paling awal di Mukim Langgar ialah Pondok Tasak di bawah Tuan Guru Haji Muhammad Noor bin Abu Bakar (Tuan Mad Nor Keramat), dan disambung pula oleh Tuan Guru Haji Shaari bin Haji Taha. Keduanya ialah Pondok Tuan Guru Haji Ahmad Tua di Alor Setol dan disambung hayatnya oleh Tuan Guru Haji Nawawi bin Haji Saleh. Ketiganya ialah Pondok Tuan Guru Haji Abu di Alor Keladi.
Kemudian terdapat pula Pondok Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yassin (Tok Janggut) di Langgar Satu, Pondok Tuan Guru Haji Husin bin Haji Saleh berhampirannya, Pondok Syeikh Abdullah Masri di Tanjung Inggeris dan Pondok Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Yusof (Haji Abdullah Kechik) berhampirannya, kemudian terdapat pula Pondok Tuan Guru Haji Dahlan di Jalan Makam dan Pondok Tuan Guru Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin di persimpangan Jalan Makam itu. Seperti biasa, setengah dari pondok-pondok ini menjadi tempat perlindungan orang tua-tua yang belajar di pondok-pondok ini sehingga mereka meninggal dunia di situ

Keadaan yang sama seperti di Langgar berlaku juga di Mukim Pendang, dua puluh batu dari Alor Star. Di sana terdapat sekurang-kurangnya 18 buah persekolahan pondok juga didirikan hampir sebelah menyebelah. Pondok Syeikh Munah di Padang Pusing, Pendang dikira paling awal yang kemudiannya diikuti pula oleh pondok-pondok lain yang dibukai oleh:

1. Tuan Guru Haji Muhammad di Padang Pusing, Pendang
2. Tuan Guru Haji Awang Chegar dan kemudian disambung oleh Tuan Guru Haji Ahmad Rubat, Kampung Chegar, Pendang
3. Tuan Guru Haji Ismail Che Dol, Gajah Mati, Pendang 
4. Tuan Guru Haji Ibrahim, Paya Sena
5. Tuan Guru Haji Muhammad Ariff bin Ishak, di Ayer Putih, Pendang
6. Syeikh Abdul Qadir, Guar Kepayang
6. Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani ( Pak Chu Him Gajah Mati )
7. Tuan Guru Haji Husin, Seberang Pendang, Pendang
8. Tuan Guru Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim, berhampiran Pekan Pendang
9. Tuan Guru Haji Hamid, Tobiar, Pendang 
10. Tuan Guru Haji Abu Bakar Penyarom, Tobiar, Pendang 
11. Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Tanah Merah, Pendang
12. Tuan Guru Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim, Paya Sena, Pendang
13. Tuan Guru Haji Zakaria, Kampung Rambai, Pendang 
14. Tuan Guru Haji Ahmad Kecik, Kampung Kepala Parit, Tokai, Pendang
15. Syeikh Hussin Masri, Kubur Panjang, Pendang
16. Tuan Guru Haji Wan Sulong bin Wan Dali, Pokok Asam, Pendang
17. Tuan Guru Haji Hussin, Seberang Pendang
18. Tuan Guru Haji Hussin Bin Yaakob, Paya Kencut
 
Pondok-pondok di Kedah paling banyak sekali didirikan ialah di zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Di antara yang wujud antara 1900 hingga 1935 ialah :

1. Tuan Hussien Kedah al-Banjari, Bohor 
2. Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Sidiq, Limbong Kapal
3. Syeikh Wan Idris bin Haji Wan Jamal ( Tok Syeikh Jarum ), Derga
4. Tuan Guru Haji Muhammad Ariff bin Haji Ishak, Sungai Nonang & Ayer Puteh
5. Tuan Guru Haji Husain bin Muhammad Hassan, Titi Besi
6. Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad, Pedu & Batu Menunggul, Pendang
7. Tuan Guru Haji Muhammad Lin, Yan
8. Syeikh Abdul Kadir, Guar Kepayang
9. Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Abdullah, Penyarom, Tobiar
10. Tuan Guru Haji Abdul Hamid, Tobiar
11. Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Abdul Rahman, Kemelong, Sik
12. Tuan Guru Haji Umar bin Muhammad Zain, Titi Gajah, Kota Star
13. Tuan Guru Haji Idris, Ayer Hitam, Jitra
14. Tuan Guru Haji Ibrahim, Paya Sena, Pendang
15. Tuan Guru Haji Ismail, Teluk Ara, Jitra
16. Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Idris, Lubuk Kawah, Jitra
17. Tuan Guru Haji Muhammad Saman, Kubang Siam, Kota Star
18. Tuan Guru Haji Awang Chegar, Pendang
19. Tuan Guru Haji Ismail, Gunung Keriang, Kota Star
20. Tuan Guru Haji Saad, Kubang Bongor, Kota Star
21. Tuan Guru Haji Saleh Masri bin Haji Abdullah, Kuala Kedah
22. Tuan Guru Haji Ahmad Umar, Tanjung Musang, Langgar
23. Syeikh Abdullah Masri, Tanjung Inggeris, Langgar, Kedah
24. Tuan Guru Haji Yassin, Selarong Lalang, Alor Star
25. Tuan Guru Haji Yassin, Jabi, Kota Star
26. Tuan Guru Haji Yassin, Alor Ibus, Kota Star
27. Tuan Guru Haji Muhammad Saman Keramat Serban Hijau, Yan
29. Tuan Guru Haji Muhammad Arshad, Teluk Bagan, Alor Star
30. Tuan Guru Haji Muhammad Nur bin Haji Abdul Salam, Si Putih, Kubang Pasu
31. Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Tualang, Pendang
32. Tuan Guru Haji Ismail bin Che' Abu, Bujang, Merbuk, Kedah
33. Tuan Guru Haji Awang Hamzah, Kubang Siam, Kota Star
34. Tuan Guru Haji Harun bin Muhammad Zain, Alor Merah, Alor Star
35. Tuan Guru Haji Omar, Merbok
36. Tuan Guru Haji Yahya bin Haji Taha, Kupang, Baling
37. Tuan Guru Haji Wan Sulung bin Wan Chik, Jeniang
38. Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yassin ( Tok Janggut ), Langgar
39. Tuan Guru Haji Abu, Alor Keladi, Langgar
40. Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Kubang Rotan, Kota Star
41. Tuan Guru Haji Awang, Sungai Limau, Yan
42. Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Awang, Padang Pusing, Pendang
43. Tuan Guru Haji Abdul Latif, Pulau Kerengga, Kota Star
44. Tuan Guru Haji Harun, Bukit Tinggi, Naga, Sungai Baru, Bukit Pinang
45. Tuan Guru Haji Ahmad, Paya Nedam, Sik
46. Tuan Guru Haji Muhammad Zain, Kubang Siam, Kota Star
47. Tuan Guru Haji Endut, Titi Besi, Kubang Pasu
48. Tuan Guru Dato' Haji Abdul Rahman bin Abdullah, Merbok
49. Tuan Guru Haji Abdul Ghani bin Haji Awang, Tandop, Alor Setar
50. Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Latif, Jitra
51. Tuan Guru Haji Ahmad, Kupang, Baling
52. Tuan Guru Haji Abdul Mutalib bin Abdul Rahman, Simpang Empat, Kota Star
53. Tuan Guru Haji Muhammad Nuh, Kulim
54. Tuan Guru Haji Hussain bin Haji Saleh, Langgar
55. Tuan Guru Haji Wan Abdul Samad bin Wan Nik, Pokok Sena
56. Syeikh Wan Ibrahim bin Wan Abdul Kadir ( Pak Chu Him), Gajah Mati, Pendang
57. Tuan Guru Haji Othman, Alor Gonchar, Gunung, Kota Star
58. Tuan Guru Haji Itam, Tanjung Bedil, Kota Star
59. Tuan Haji Abdullah bin Haji Awang, Chegar, Anak Bukit Kota Star
60. Tuan Guru Haji Hassan al-Fatani, Bukit Besar, Yan
61. Tuan Guru Haji Abdul Majid, Guar Cempedak
62. Tuan Guru Haji Hussain bin Che' Dol, Guar Cempedak
63. Tuan Guru Haji Hamzah, Mergong, Alor Star
64. Tuan Guru Haji Ismail bin Sulaiman, Merbok
65. Tuan Guru Haji Ahmad Kota bin Lebai Ibrahim, Kota Rentang, Bukit Pinang
66. Tuan Guru Haji Zawawi bin Abdul Rahman, Alor Ibus dan Yan
67. Syeikh Mahmud bin Abdullah, Bukit Besar, Yan
68. Tuan Guru Haji Kassim bin Haji Saleh, Pulau Pisang, Jitra
69. Tuan Guru Haji Othman Melaka, Sanglang, Kodiang, Kubang Pasu
70. Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Sungai Baru Ilir, Kota Star
71. Tuan Guru Haji Ahmad 'Sekor', Junjung, Kulim
72. Syeikh Idris bin Abdul Rahman al-Jarumi, Alor Mengkudu, Alor Star
73. Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin, Ayer Hitam, Jitra
74. Tuan Guru Haji Hamzah, Seberang Chegar, Anak Bukit
75. Tuan Guru Haji Ahmad Lala bin Abbas, Jeneri, Sik
76. Tuan Guru Haji Dahlan, Langgar
77. Tuan Guru Haji Muhammad Marzuki bin Muhammad Amin, Langgar
78. Tuan Guru Haji Ismail bin Ibrahim, Seberang Nyonya, Kuala Kedah
79. Tuan Guru Haji Umar bin Haji Saleh, Kubang Lembu Jitra
80. Tuan Guru Haji Rashidi, Kampung Gelugur, Baling
81. Tuan Guru Haji Wan Sulung bin Wan Dali, Pokok Asam, Pendang
82. Tuan Guru Haji Saleh Wara', Sik
83. Tuan Guru Haji Abdul Aziz bin Haji Ibrahim, Pendang
84. Tuan Guru Haji Hussein, Pendang
85. Tuan Guru Haji Muhammad Saad bin Awang, Merogoi, Bukit Payung, Pendang
86. Tuan Guru Haji Husin bin Haji Abdul Rahman, Telok Kechai, Kota Star
87. Tuan Guru Haji Musa bin Salleh, Pekan Sik

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Hamid, muncul beberapa pondok pengajian yang bertebaran di bumi Kedah umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Dizaman ini rakyat di Kedah amat cenderung ke arah pendidikan pondok bagi mendidik anak bangsa. Ianya masih wujud hingga kini namun dalam bilangan yang semakin sedikit dari hari ke hari. Diantara Tuan-tuan guru yang membuka pondok dizaman ini ialah : 

1. Tuan Guru Haji Yahya Junaid, Batu 16, Padang Lumat, Yan
2. Tuan Haji Omar Zuhdi bin Muhammad Saleh, Banggol Berangan, Parit Panjang, Baling
3. Tuan Guru Haji Othman bin Haji Yunus, Batu Sebelas, Bukit Besar, Yan
4. Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Othman, Bukit Keplu, Kodiang, Kubang Pasu
5. Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution, Tanjung Pauh, Jitra
6. Tuan Lebai Isa, Keplu, Kodiang
7. Tuan Guru Haji Fauzi bin Haji Mustaffa, Yan
8. Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Haji Saleh, Jitra, Kubang Pasu.
9. Tuan Guru Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim, Pendang.
10. Tuan Guru Haji Abdullah Kechik bin Haji Muhamad Yusof, Langgar
11. Syeikh Tajuddin bin Haji Abdul Rahman al-Jarumi (Dato' Mursyid di Raja), Malele, Kubang Pasu
12. Tuan Guru Haji Abdullah bin Hassan, Kuala Janing, Padang Terap
13. Syeikh Daud, Malau, Kulim
14. Tuan Guru Haji Yahya, Kampung Teluk, Bukit Pinang, Kota Star
15. Tuan Guru Haji Ahmad Nahu, Jeneri, Sik
16. Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin Haji Ismail, Kebun 500, Jabi, Kota Star
17. Tuan Guru Haji Ibrahim Senggora, Tok Keling, Kota Star
18. Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saleh, Tong Pelu, Padang Terap dan Alor Changleh, Kubang Pasu.
19. Tuan Guru Haji Mustaffa, Tambak Bunga, Kota Star.
20. Tuan Guru Haji Husin bin Haji Abdul Rahman al-Jarumi, Selarung Lalang, Kota Star
21. Tuan Guru Haji Umar bin Haji Ahmad, Langgar
22. Tuan Guru Haji Senawi bin Muhammad Saleh, Alor Setol, Langgar
23. Tuan Guru Haji Abdullah bin Lebai Besar, Kupang
24. Tuan Guru Haji Bukhari bin Hassan, Bukit Besar, Yan dan Batu Menunggol, Pendang
24. Tuan Guru Haji Wa Man, Lepai, Kota Star.
25. Tuan Guru Haji Man, Pida Tiga, Tunjang, Kubang Pasu
26. Syeikh Husin Masri, Kubur Panjang
27. Tuan Guru Haji Awang, Ayer Hitam, Kubang Pasu
28. Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Awang Kechik, Permatang Jeram, Kubang Pasu
29. Tuan Guru Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Hamid, Sungai Jagung Dalam, Pendang
30. Tuan Guru Haji Shafie, Kampung Tebing, Jitra
31. Tuan Guru Haji Azizan bin Mustaffa, Kangkung, Kota Star
32. Tuan Guru Haji Ismail bin Haji Ahmad, Bukit Pinang, Kota Star
33. Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Haji Yahaya, Kupang, Baling
34. Syeikh Mahmud Nasri Osmani, Kampung Lanai, Baling
35. Tuan Guru Haji Ahmad, Bukit Pinang, Kota Star
36. Tuan Guru Haji Salleh bin Haji Musa, Sik
37. Tuan Guru Haji Abdullah bin Lebai Samah, Bukit Lada, Kota Star
38. Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Hassan ( Awang Lanai ), Baling
39. Tuan Guru Haji Ahmad, Padang Nyior, Kuala Nerang
40. Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Saad, Tok Keling, Alor Setar

Di atara pondok-pondok di atas, ada yang masih bertahan menghadapi pelbagai rintangan dan kesukaran yang timbul mengikut arus pembangunan dan pemodenan. Persekolahan pondok ini terpaksa menandingi sekolah-sekolah agama yang didirikan oleh Kerajaan dengan sistem yang jauh progresif. Walaubagaimanapun di sebalik kesukaran tersebut, diharapkan agar sinar kegemilangan pendidikan pondok dapat kembali menyerlah dan menjadi benteng kepada situasi di akhir zaman ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan