Dari Ibnu Abbas ra, dari Nabi SAW, Baginda bersabda :
"Fikirlah tentang apa yang diciptakan oleh Allah, janganlah berfikir tentang pencipta".
Fikirlah tentang apa yang telah dijadikan oleh Allah pada cakerawala ini. Apa yang boleh digapai oleh pancaindera manusia yang 5. Seperti matahari dengan jadual terbit & tenggelamnya. Perkembangan bulan dari awal bulan hingga purnama kemudian penyusutannya. Muka bumi dengan gunung ganang serta isi perutnya. Sungai dan laut dengan segala makhluk dan rahsianya.
Semua ini tidak akan bergerak melainkan dengan kehendak dan kuasa Allah. Kerana itulah Allah memberikan galakan kepada umat manusia untuk berfikir dan bertafakur akan segala nikmat anugerahNYA. FirmanNYA : "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata : "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (2:190-191)
Berkata Imam al-Ghazali : "Banyaknya galakan di dalam Al-Quran supaya memerhatikan dan mengambil pengajaran, melihat dan berfikir kerana berfikir itu adalah kunci kepada pencerahan, pembuka kepada penilaian, rangkaian yang menghubungkan ilmu, tapak pengumpulan pengetahuan dan kefahaman. Kebanyakan manusia mengetahui kelebihan berfikir akan tetapi mereka buta tentang hakikat dan hasilnya." (Kitab Ihya' Ulumuddin 4/423)
Dengan melihat kehebatan dan keajaiban segala penciptaan Allah pada muka bumi ini, segala isi langit dan bumi, seluruh cakerawala, akan segera menimbulkan rasa kagum akan kehebatan Allah lantas menumbuhkan rasa iman dan ketaqwaan yang kuat kepada Allah. Seorang mukmin yang baik tidak hanya menjadikan alam ini hanya peluang untuk menumpang hidup, tetapi ia bertafakur dalam mencari hikmah untuk menambahkan rasa keimanan yang utuh dan hebat.
Bertafakurlah, sesungguhnya medan untuk bertafakur ini begitu luas. Carilah hikmah yang terdapat di dalam alam ini, agar ianya dapat menambahkan kualiti iman dan taqwa kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan