12 Ramadhan 1434..
Alkisah seorang pakcik tua dengan anaknya 25 tahun
Seorang pakcik tua sedang duduk bersama anaknya yang berumur 25 tahun di atas keretapi.
Ini bukan kali pertama mereka menduduki keretapi.
Keretapi bakal bergerak, semua penumpang mengambil tempat masing-masing.
Semasa keretapi itu mula bergerak, anak pakcik tersebut berasa
tersungguh riang dan penuh perasaan ingin tahu melihat keluar tingkap…
Beliau meletakkan tangannya di luar tingkap untuk merasai udara
melepasi tangannya. Anak berusia 25 tahun itu menoleh ke arah ayahnya –
“Abon, Abon – lihat semua pokok bergerak ke belakang.”
Abonnya tersenyum, “Ya, anakku sayang, memang begitu. Menakjubkan kan?”
“YA ayah,” jerit anaknya dengan riang.
Duduk tepi anak-ayah ini adalah sepasang suami isteri berumur hampir
40an. Mereka mendengar segala perbualan antara anak-ayah ini. Mereka
terasa pelik mengapa anak pakcik yang sudah besar ini berkelakuan
seperti seorang kanak-kanak.
“Peliklah anak pakcik ini…” bisik mereka.
Kemudian, anak pakcik itu menjerit lagi, “ABON, ABON, hujan hujan. Air sedang menyentuh tangan saya… Abon tengok.”
Pakcik menjawab, “Ya memang begitu anakku” sambil tersenyum gembira.
Pasangan suami isteri itu tidak dapat bertahan lagi dengan gangguan
suara kerana perangai anak pakcik tersebut yang dianggap mereka kurang
siuman lalu memberikan cadangan….
“Pakcik, mengapa tak bawa anak ke hospital … untuk terima rawatan…”
Pakcik tua itu menoleh dan menjawab…
“Sudah. Kami dari hospital ini nak balik kampung… Maknya sedang
menunggu kegembiraan kepulangan kami… Anak saya baru dapat melihat buat
kali pertamanya hari ini dalam hidup dia dan dia bakal dapat melihat
wajah maknya buat pertama kalinya….”
Pasangan suami isteri itu tersengam diam malu seribu bahasa….
Wahai anakku,
Engkau sudah tentu pernah merasai apa yang dirasakan oleh pasangan
suami isteri di atas. Pernah tak kamu terfikir mengapa Allah membuat dua
mata di depan, dan bukan satu di depan dan satu di belakang?
Hikmahnya, wahai anak kesayanganku, ialah apa yang dipandang mata
manusia hanyalah sebahagian sahaja – tidak 360 darjah. Oleh itu, jangan
sesekali engkau mengganggap apa yang dilihat di depan mata ialah
segalanya. Kamu harus sedar ia hanya sebahagian sahaja. Sebahagian lagi
engkau perlu menggunakan mata hati untuk melihatnya. Tapi bukan dengan
menggunakan hatimu yang bersangka buruk tapi hatimu yang bersedia
bersangka baik kepada apa yang dilihat.
Wahai anakku,
Jangan anggap engkau tahu segalanya walaupun perkara itu di depan mata
kerana Allah kurniakan mata kamu dengan kemampuan melihat apa yang minda
nak lihat. Jika minda engkau penuh dengan sangka buruk, maka mata kamu
yang memandang akan fokus kepada perkara buruk dan begitu juga
sebaliknya. Ingatlah pesanan aku, wahai anakku, sesuatu situasi ataupun
pandangan mata engkau adalah neutral. Minda kamu yang menafsirnya baik
dan buruk. Yang engkau dapat melihat tidak semestinya betul, yang kamu
tak dapat lihat tak semestinya silap.
Wahai anakku,
Sekiranya engkau mendapati cerita aku ini bermanfaat, kongsilah dengan
sahabat-sahabatmu. Sekurang-kurangnya engkau telah menjadi pembaca yang
memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Senyum.
(sumber FB Dato' Tuan Ibrahim b Tuan Man (Official)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan