02 Rabiul Akhir 1435.

Sejak awal pemulaan tamadun lagi, manusia sering dan sentiasa mencari
penawar kepada kesakitan yang dialaminya melalui pelbagai seni kaedah
penyembuhan. Namun, terapi penyembuhan bukanlah hanya remedi untuk sihat
tubuh badan, ia juga boleh menjadi asas kepada kesedaran dan
pembentukan kerohanian seseorang. Ia memiliki 'kuasa' untuk mengubah
hidup seseorang ke arah kehidupan yang lebih makmur dan sempurna. Ia
bukan hanya menyembuhkan tubuh yang kesakitan, malah ia memberi kelegaan
kepada jiwa yang resah menahan kesakitan.
Tidak
kiralah apapun nama atau jenis terapi tersebut, intipati dan
rasionalnya adalah sama iaitu; mengembalikan kegemilangan sistem
manusia. Malah sesetengah kaedah terapi amat sukar untuk dijelaskan
secara terperinci bagaimana ia bekerja. Umpama memiliki 'rahsia'
tersendiri. Bahkan pada hari ini, dari segi intelektual sekalipun tidak
dapat menjelaskan erti 'kuasa' penyembuhan yang sebenarnya.
Umpama
'kuasa' tenaga elektrik dirumah, kita mungkin mengambil masa 2 tahun
untuk memahami secara saintifik bagaimana dengan hanya memetik suis di
dinding – lampu di syiling boleh menyala. Namun, kita tidaklah perlu
bersusah payah untuk memahaminya, kita hanya perlu memanfaatkannya
sahaja untuk berbagai kegunaan kita.
Secara umum Reiki adalah
suatu teknik, bersifat teknikal dalam menyampaikan aplikasinya. Ia
disusun sempurna oleh pengasasnya iaitu Dr Mikao Usui pada 1920an
menerusi ilmu-ilmu yang beliau pelajari sepanjang pencariannya. Juga ia
adalah melalui pengalaman mistik diakhir hari meditasinya di sebuah
gunung di Jepun dalam melengkapkan pencarian terhadap suatu teknik yang
dapat memberi penyembuhan melalui teknik sentuhan tangan. Kebanyakkan
pengamal Reiki bersependapat bahawa pengalaman mistik tersebut adalah
suatu bentuk ilham yang mengandungi ilmu-ilmu penyembuhan yang
diturunkan semula oleh Yang Maha Pencipta kepada hambaNya yang mencari
dan meminta.
Walaupun azalinya ia bersifat teknikal ataupun
seni, namun melalui pengamatan yang mendalam, seni penyembuhan Reiki
merupakan suatu ilmu yang bersifat dalaman dan halus. Ia merupakan siri
ilmu pengenalan yang akan membantu pengamalnya mengenal, memahami dan
menghayati tentang makanisme kejadian manusia. Mengenal, memahami dan
menghayati peranan tiga unsur utama manusia iaitu Minda, Tubuh dan Roh
yang merupakan asas kesempurnaan, keseimbangan dan keharmonian sesebuah
kehidupan. Pengamalnya akan memahami maksud dan peranan ‘Tenaga
kehidupan’ atau yang sering disebut sebagai ‘Chi’ dalam pelbagai aspek
keperluan hidup. Seterusnya pengamalnya akan mendalami teknik-teknik
menjana, menjaga dan mengalirkan ‘Chi’ bagi tujuan memiliki keseimbangan
yang harmoni dalam hidupnya. Namun, perlulah diingatkan di sini; Reiki
bukanlah satu-satunya ilmu yang membicarakan tentang segala yang
berkaitan tentang Chi, Minda, Tubuh dan Roh.
Reiki
adalah suatu bentuk penyembuhan alternatif yang menggunakan tenaga
kehidupan (life force) yang juga dikenali sebagai Prana di dalam bahasa
Sanskrit, Chi di dalam bahasa Cina, Ki di dalam bahasa Jepun, Qudrah /
Tenaga Illahiah dalam Islam. Secara umum, Reiki menggunakan teknik
sentuhan tangan pengamalnya ke tubuh penerima bagi mengalirkan energi
penyembuhan. Di Barat, ia lebih dikenali sebagai satu kaedah ataupun
terapi yang dapat menggurangkan tahap tekanan atau stres.
Perkataan
Reiki terdiri dari dua suku kata iaitu REI dan KI. Rei (sebutan ray)
membawa makna Tenaga Kehidupan Semesta (universal life force energy) dan
Ki bermaksud Tenaga Vital Individu. Pengamal Reiki adalah medium
perantara yang menerima masuk tenaga universal lalu mengalirkannya
semula keluar melalui sistem tubuhnya ke tempat yang memerlukan (pesakit
/ penerima). Dalam kata lain, pengamal hanyalah agen pengalir
tenaga atau medium perantara yang menyampaikan tenaga kehidupan semesta
ini ke tempat yang memerlukannya; samada pada dirinya sendiri mahupun
pada orang lain, dekat ataupun jauh; bagi mengharmonikan apa juga
masalah samada permasalahan minda, emosi, tubuh atau rohani.
Secara
tidak langsung, fakta ini juga menjelaskan bahawa tenaga-tenaga yang
dihasilkan bukanlah dari diri pengamal tersebut kerana jika ini berlaku,
nescaya tenaga pengamal akan berkurangan atau kehabisan yang akan
mengakibatkan pengamalnya menjadi lemah dan tidak bertenaga.
“Merasai
atau mengamati tenaga Reiki adalah pengalaman berkomunikasi dengan
gelombang Kasih Sayang dari alam kepada seluruh kehidupan. Ia umpama
menghayati anugerah kekayaan penciptaan yang Maha Kuasa kepada seluruh
makhlukNya dan alamNya. Ar-Rahman Yang Maha Pemurah telah menyediakan
tenaga penyembuhan semulajadi yang sediada untuk diguna pakai oleh
sekelian makhluk. Ar-Rahim yang Maha Penyayang mengizinkan setiap
makhluknya mengekses tenaga ini tanpa perlu meminta-minta atau
bersyarat. Ilmu Reiki membantu pengamalnya menghayati anugerah ini,
mengaplikasikannya secara optimum dan menjiwai nikmat penyembuhan alami
dengan penuh pasrah dan kesyukuran.”
Sama ada saudara
hidup serba kekurangan atau dalam kemewahan, sama ada saudara mencari
sesuatu dari segi kerohanian, atau minda hanya tertumpu kepada
kebendaan, atau sama ada saudara dalam belenggu kekecewaan atau sedang
bangkit untuk melakukan perubahan; Reiki memberi kekuatan dan
menyemarakkannya.
Reiki menyembuh pada semua
peringkat, pada fizikal, mental (minda), emosi serta kerohanian dan
memberi sokongan keupayaan semulajadi tubuh untuk sembuh dengan
sendirinya.
Penyembuhan Reiki bukanlah satu bentuk penyembuhan
yang konfrontasi malah ianya menyembuhkan pelbagai masalah dan trauma
dengan cara yang lembut dan halus. Ia juga bukanlah berasal daripada
mana-mana mazhab atau fahaman, ia telah dipraktiskan oleh pelbagai
golongan dari pelbagai agama, adat dan kebudayaan. Saudara tidak perlu
mengikut mana-mana adat atau sistem kepercayaan untuk mengalirkan Reiki
atau untuk menikmati manfaatnya. Apa yang perlu adalah kehendak dan
kemahuan untuk menyembuh dan disembuh oleh tenaga suci ini.
‘Semua
cakrawala datangnya dari rasa kecintaan, dan kepada kecintaanlah
semuanya kembali. Dari kebahagiaan semua kejadian ini hadir, dengannya
(kebahagiaan) mereka hidup, dan kepadanya (kebahagiaan) mereka
kembali’. - TAITTIRIYA UPANISHAD