Pageviews

Khamis, 16 Januari 2014

Inspirasi NABAWI - Tafakurlah.

Dari Ibnu Abbas ra, dari Nabi SAW, Baginda bersabda :
"Fikirlah tentang apa yang diciptakan oleh Allah, janganlah berfikir tentang pencipta".

Fikirlah tentang apa yang telah dijadikan oleh Allah pada cakerawala ini. Apa yang boleh digapai oleh pancaindera manusia yang 5. Seperti matahari dengan jadual terbit & tenggelamnya. Perkembangan bulan dari awal bulan hingga purnama kemudian penyusutannya. Muka bumi dengan gunung ganang serta isi perutnya. Sungai dan laut dengan segala makhluk dan rahsianya.

Semua ini tidak akan bergerak melainkan dengan kehendak dan kuasa Allah. Kerana itulah Allah memberikan galakan kepada umat manusia untuk berfikir dan bertafakur akan segala nikmat anugerahNYA. FirmanNYA : "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata : "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (2:190-191)

Berkata Imam al-Ghazali : "Banyaknya galakan di dalam Al-Quran supaya memerhatikan dan mengambil pengajaran, melihat dan berfikir kerana berfikir itu adalah kunci kepada pencerahan, pembuka kepada penilaian, rangkaian yang menghubungkan ilmu, tapak pengumpulan pengetahuan dan kefahaman. Kebanyakan manusia mengetahui kelebihan berfikir akan tetapi mereka buta tentang hakikat dan hasilnya." (Kitab Ihya' Ulumuddin 4/423)

Dengan melihat kehebatan dan keajaiban segala penciptaan Allah pada muka bumi ini, segala isi langit dan bumi, seluruh cakerawala, akan segera menimbulkan rasa kagum akan kehebatan Allah lantas menumbuhkan rasa iman dan ketaqwaan yang kuat kepada Allah. Seorang mukmin yang baik tidak hanya menjadikan alam ini hanya peluang untuk menumpang hidup, tetapi ia bertafakur dalam mencari hikmah untuk menambahkan rasa keimanan yang utuh dan hebat.

Bertafakurlah, sesungguhnya medan untuk bertafakur ini begitu luas. Carilah hikmah yang terdapat di dalam alam ini, agar ianya dapat menambahkan kualiti iman dan taqwa kita semua.

Khamis, 9 Januari 2014

TAWADDU'

Al-Hafiz Ibnu al-Jauzi dalam Manaqib Ashabul Hadis mengatakan : "Sebaik-baiknya bagi penuntut ilmu supaya benar-benar tawadhu' dan merendahkan diri kepada orang 'alim. 
Kata beliau : Antara sifat tawadhu' ialah mencium tangan mereka. Sufyan bin 'Uyainah dan Fudhail bin 'Iyadh salah seorang daripada mereka mencium tangan Husain bin Ali al-Ju'fi dan seorang lagi mencium kakinya [berkenaan mencium kaki ini ada hadithnya]. 
Demikian disebut dalam Syarah Manzumatul Adab karangan as-Safarini, jilid 1, hlm 287. Dalam Syarah al-Hidayah, Abu al-Ma'ali berkata : "Mencium tangan 'alim ulama dan orang yang mulia kerana kemuliaannya adalah harus, sementara mencium tangan orang kaya kerana kekayaannya akan hilang 2/3 dari agamanya, sebagaimana diriwayatkan : "Siapa yang merendahkan diri kepada orang kaya kerana kekayaannya sesungguhnya telah hilang dua pertiga daripada agamanya."   

Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa para sahabat mencium tangan Saidina al-Musthafa shallallahu 'alaihi wa sallam sebagaimana terdapat dalam hadis Ibnu Umar radhiyalLahu 'anhuma sekembali mereka daripada peperangan Mu'tah." - Lihat Haqaiq 'an at-Tasawwuf, Sheikh Abdul Qader Isa al-Halabi rahimahullah. 
Alangkah indahnya kata-kata ini : Ciumlah tangan ahli taqwa Jangan takut celaan musuh Haruman Tuhan ialah 'abidnya. Ciumlah tangannya untuk mendapatkannya. 
Nota : Beginilah sifat para ulama yang tawaduk dan beradab. Mereka tidak pernah merasa puas dengan ilmu yang dimiliki dan tidak pula merasa segan dan malu untuk berada dalam majlis ulama lain bersama para murid sekali pun kedudukan mereka mungkin sahaja tinggi pada sisi ulama; malah dalam hati mereka tidak terselit sifat berbangga diri dan enggan menjadi murid bagi ulama lain. Inilah teladan bagi para murid dan mubtadi’; sifat mulia seumpama ini wajar diteladani dan dijadikan pegangan. Meski pun berada pada kedudukannya yang tersendiri.


Sheikh Wan ‘Izzuddin bin Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani al-Qadahi hafizahullah pun turut bersifat mulia seperti ini; beliau tidak pernah merasa puas dengan ilmu yang dimiliki malah, akan turut berusaha berada dalam majlis-majlis ulama lain. Sheikh Wan ‘izzuddin hafizahullah pernah berada dalam majlis ilmu oleh Sheikh 'Abd al-Hadi Kharsa hafizahullah; seorang ulama hebat dan sufi dari Syiria, ~ Hafiz Fandani/998-1404.