Pageviews

Isnin, 15 Mac 2021

RUMUSAN KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN (Yang Perlu Diketahui Awam)

1 SYAABAN 1442H
15 MAC 2021M 

1. Ada beberapa hadis yang sahih berkaitan bulan Sya’ban, seperti: Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban (al-Bukhariy & Muslim), kelebihan berpuasa secara umum pada bulan Sya’ban kerana amalan diangkat pada bulan tersebut (riwayat Ahmad & al-Nasaiy) dan some hukum-hakam puasa sunat pada bulan Sya’ban.

2. Ada juga hadis berkaitan kelebihan bulan Sya’ban dan Nisfu Sya’ban yang dinilai palsu serta tiada asalnya oleh para ulama hadis, seperti hadis: “Sya’ban bulanku” dan hadis Allah mengutuskan malam Nisfu Sya’ban kepada Jibril AS.

3. Hadis kelebihan berpuasa khusus sempena Nisfu Sya’ban juga tiada yang sahih. Manakala jika sekadar berpuasa sunat biasa atau puasa hari-hari putih (13, 14, 15) maka ia digalakkan.

4. Hadis solat khas Nisfu Sya’ban (100 rakaat-setiap rakaat dibacakan 10x surah al-Ikhlas) dinilai palsu oleh ramai ilmuwan hadis, antaranya: Ibn al-Jawziy, al-Dzahabiy, al-‘Iraqiy, Ibn Hajar al-Haytamiy, al-Syawkaniy, dan lain-lain. 
Al-Tartusyiy menyebut solat ini diwujudkan pada kurun ke-5h oleh seorang lelaki dari Nablus, Palestin.
Tiada dari kalangan imam 4 mazhab fiqh utama dunia yang menggalakkan solat khas ini, baik Abu Hanifah, Malik, al-Syafi'iy, Ahmad, mahupun ulama-ulama hadis agung lain.

5. Tiada dalil sahih akan kelebihan malam Nisfu Sya’ban baik dari hadis Nabi SAW, mahupun athar para sahabat RA. Hadis dha’if yang diriwayatkan oleh Ibn Majah mengenai Allah mengampunkan dosa hambanya pada malam Nisfu Sya’ban pula tidak menunjukkan sebarang kelebihan khusus malam tersebut, kerana dalam Sahihayn, setiap malam Allah mengampunkan mereka yang memohon keampunan-Nya serta memakbulkan doa yang meminta pada satu pertiga akhir malam, tidak khusus pada malam Nisfu Sya’ban.

6. Sebahagian ahli Syam dari kalangan Tabi’in seperti Khalid bin Ma’dan dan lain-lain dilihat sebagai yang terawal memuliai malam Nisfu Sya’ban ini dengan menambah kesungguhan dalam beribadah padanya. 
Ibn Rajab mengatakan ia berdasarkan athar Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut yang sampai kepada mereka (terdapat satu athar dari Nabi Dawud AS namun sanadnya penuh dengan perawi yang tidak dikenali!)?? 
Namun imam ahli Syam al-Awza’iy mengingkari perbuatan berhimpun di masjid demi meraikan malam tersebut. 
Manakala ramai dari kalangan ulama Hijaz yang sezaman dengan ulama-ulama Syam di atas seperti ‘Ata’ bin Abi Rabah, Ibn Abi Mulaykah dan beberapa ashab Malik di Madinah lebih bertegas dengan menegah dari mengistimewakan ibadah pada malam tersebut walau secara bersendirian di rumah.

7. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi SAW, para sahabat baginda RA & mereka yang mengikuti petunjuk mereka...Wallahu ta'ala a'lam...

Kredit Oleh: Ustaz Dr Kamilin Jamilin - Seni Hadith
Pensyarah USIM
Ahli JK Fatwa Wilayah persekutuan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan