19 Oktober 2018M
WALI KERAMAT
Singgah sarapan pagi sebentar di sebuah kedai sarapan pagi yang terkenal, maju, tidak putus dengan pelanggan. Pemilik warung tersebut menyapa sang faqir.
"Syeikh, lama tak nampak. Saya tunggu juga."
"Eh, biasalah, sibuk sikit. Abang sihat? Kena besarkan kedai dah ni, saya nak daapt tempat duduk pun kena tunggu giliran " Sang faqir menyambut sambil ketawa kecil.
"Sihat ustaz. Cuma ada hal sikitlah nak mengadu, boleh?" Pemilik kedai tersebut duduk menghampiri sang faqir dengan wajah yang serius.
"Boleh, boleh, insyaALLAH." Sang faqir memberi perhatian.
"Ustaz, saya dah buat macam-macam, bersedekah, solat hajat, puasa sunat, jaga makan, jaga perut, jaga mata, jaga telinga, bangun malam, munajat, semua yang baik-baik saya buat, tapi still doa saya tak dimaqbulkan. Apalagi yang perlu saya buat? Buntu dah saya. Kadang-kadang saya putus asa jadi baik. Jadi jahat lagi cepat capai apa yang saya nak. Tolong saya ustaz, apa lagi perlu saya buat? " Tanya beliau.
Sang faqir memandang beliau dengan penuh iltizam sambil meneguk horlick suam barang seteguk.
Jawab sang faqir, "bagus dah semua yang Abang buat tu, tapi macam ada yang tertinggal."
"Apa yang tertinggal tu? Boleh saya tahu?" Tanya beliau.
"Abang tidak minta wali ALLAH tolong doakan Abang." sang faqir menjawab.
"Mana saya nak cari wali ALLAH tu?" Tanya beliau.
"Mudah sahaja. Call ibu Abang sekarang, minta maaf dan minta ibu Abang doakan Abang. That simple. Tidak perlu cari jauh-jauh." Sang faqir menjelaskan.
Hamba ALLAH tadi tertunduk. Teraba-raba mencari jawapan.
"Ustaz, sebenarnya dah hampir 2 tahun saya tak berhubung dengan dengan mak ayah saya. Saya makan hati dengan diorang." Beliau menjawab.
"Makan hati atau makan hempedu, ibubapa tetap ibubapa, tidak berubah sampai kiamat. Hatta mereka pendosa, kedudukan kita sebagai anak tiada pernah terputus, tiada pernah terjatuh. Adakala, kita rasa kita betul, kita baik, mereka tidak baik, namun sebenarnya rasa itu, keadaan itu, adalah ujian kita sebagai anak yang soleh. Ubahlah selagi ada masa dan ada dia. Ibu ayah kita wali keramat." Sang faqir membebel.
"Baiklah ustaz, saya cuba. Doakan saya ya." Beliau pasrah.
Hampir 2 bulan lebih berlalu.
Sang faqir berbetulan lalu, singgah untuk bersarapan.
Semasa parkir kuda besi, dari jauh kedengaran suara memanggil.
"Ustaz, ustaz, sini. Ahlan Ahlan." Pemilik kedai menyambut di pintu kedainya.
Ramai mata memandang. Dah naik segan pula jadinya.
Pemilik kedai kelihatan teruja.
Sang faqir dijemput duduk.
Pesanan diambil oleh pemilik sendiri dan bersungguh beliau meminta pekerjanya siapkan.
Sambil merapati sang faqir, memeluk sang faqir erat, air mata beliau bergenang.
Sang faqir menyoal, "abang ok?"
Beliau diam lama sambil erat memeluk sang faqir, kemudian menyapu air mata dan bersuara.
"Saya ok ustaz, ok sangat. Saya baru balik dari umrah. Saya pergi dengan Ayah Mak saya. Terima kasih ustaz atas nasihat. Saya tenang. Tenang amat. ALLAH, tak boleh nak cerita. Syukur sangat-sangat." Beliau sekali lagi menitiskan air mata.
Sang faqir menggangguk dan menjawab, "AlhamduLILLAH, takpe, saya faham, faham. Kadang-kadang kita jauh mencari cahaya, rupanya cahaya itu sebenarnya dah bersama kita, kita sahaja yang tutup mata. Kena buka mata, baru nampak cahaya tu. Tahniah ya."
"Lepas ustaz suruh call Ibu saya tu, saya tak call, saya ambil masa, 2-3 hari juga, lepas tu saya call, mak saya jawab. ALLAH, lepas dengar suara mak saya, saya rasa macam ada satu beban dalam hati saya nie, gugur, jatuh satu persatu. Saya rasa macam ringan. Tak boleh gambau (gambar). Lepas tu, terus saya ajak mak ayah saya pergi umrah. Ni baru je balik dalam 3 hari, teringat ustaz, tup-tup ustaz sampai. Tak sangka betul. Tapi ustaz, saya ucap terima kasih sangat-sangat pasal ingatkan saya. Kalau tidak mati jadi anak derhaka saya ni." Beliau berhenti dalam menahan sebak.
Sang faqir menenangkan beliau. "ALLAH Maha Adil, Maha Bijaksana. DIA susun semua perkara cantik dan elok. Semua yang DIA susun untuk kita adalah tanda Pengenalan Diri DIA pada kita. DIA menyatakan AKU Maha Hebat, AKU Maha Sempurna, mohonlah pada AKU, mintalah pada AKU. Dalam masa yang sama, kunci peroleh keredhaan DIA adalah Keredhaan Ibubapa bagi yang bergelar anak, Keredhaan suami bagi yang bergelar isteri. Ramai yang tidak perasan, dalam mencari cahaya, sebenarnya cahaya dah menerangi mereka, tapi mereka yang tutup mata mereka untuk melihat cahaya itu. Kena buka, baru nampak, baru rasa, baru jelas sinaran mencari cahaya lebih besar."
Hidangan sampai seketika selepas itu. Kami menjamu selera. Pemilik kedai menemani sang faqir bersarapan.
Terpancar kepuasan di wajah sahabat itu.
Ibubapa kita adalah Wali Keramat. Selagi mereka ada, mintalah mereka doakan kita, khidmat kepada mereka, gembirakan hati mereka. Tidak rugi walau sedikit.
Kepada mereka yang merasakan ada hajat yang masih belum tertunai, gunalah 'cable' wali ini supaya mudah tercapai hajat. InsyaALLAH, pasti ada kemudahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan