RAHMAT DARI AMALAN MEMINTA IZIN
Islam menyarankan budaya syuro dalam cara hidup umatnya. Ada satu surah khusus dinukilkan sebagai ketatapan manual kehidupan berkaitan
syuro. Islam juga menetapkan adab terhadap pemimpin dan ketua (murobbi,
ulil amri) umatnya. Salah satu dari disiplin itu ialah berkaitan izin.
Jika kita perhati betul betul antara punca kecelaruan dalam masyarakat
kita hari ini ialah kerana tiada keberkesanan dalam amalan syuro. Ia
telah berganti debat yang penuh dengan ketegangan. Dari peringkat
parlimen, pejabat, sampailah ke peringkat parti dan NGO, mesyuarat
sering menjadi sangat bercelaru. Nasib tidak baik malah dilihat macam
pasar dan gelanggang tinju jadinya.
Islam melarang kita bercakap
meninggi suara lebih dari ketua dan tanpa terlebih dahulu meninta izin
semasa syuro. Apa yang berlaku dalam mesyuarat kita hari ini adalah
sebaliknya, ramai yang suka meninggi suara lebih dari pengerusi dan
sembrono bercakap tanpa meminta izin dari pengerusi. Adab dalam majlis
sudah lama hilang. Padahal manual hidup selaku orang Islam ada di
tangan dan kita mengaku beriman dengannya. Pengerusi maupun Yang
dipertua Dewan Rakyat sekalipun sering pening kepala dan situasi selalu
sahaja jadi kelamkabut.
Dalam keluarga moden sekarang ini, anak
boleh sahaja keluar masuk rumah, lalu lalang depan ibu bapa tanpa tunduk
hormat maupun sepatah izin dan salam, apatah lagi jika dalam keadaan
krisis. Tanpa sedar, sebenarnya tabiat ini dipelajari dari sikap dan
tabiat isteri/ibu yang juga keluar masuk bilik tanpa izin suami.
AMALAN IZIN MERAPATKAN PERHUBUNGAN, KASIH SAYANG & SALING MENGHORMATI
Suka kami kongsikan tips mudah yang sangat murni jika kita boleh
laksanakan dalam organisasi dan keluarga kita dengan istiqomah. Semua
Warga Prihatin, dari sekecil-kecil anak, ibu-ibu dan bapa-bapa tidak
akan sekali-kali tinggalkan syuro, atau bercakap sesuka hati tanpa
terlebih dahulu mendapat izin dari pengerusi atau muhadhir majlis.
Anak-anak diajar agar sentiasa meminta izin dari abang atau kakak yang
lebih besar, atau penjaga mereka di mana sahaja mereka berada dan dalam
keadaan apa sekalipun. Jika perginya meminta izin, kembalinya pula harus
memberi salam. Amalan ini turut dikemaskan dengan adab melintasi orang
tua dan bersalaman.
Para isteri juga diminta mengamalkan konsep
izin ini untuk mengeratkan kasih sayang. Isteri yang menghormati suami
tidak akan sekali-kali meninggalkan perbicaraan, atau meninggalkan suami
di kamar tidur tanpa terlebih dahulu meminta izin. Ini diamalkan dengan
istiqomah, biarpun sekadar untuk ke dapur atau keluar menjemur kain,
apatah lagi untuk keluar rumah, jemput anak sekolah, ke kedai atau
sebagainya. Dalam izin diselitkan pula pelbagai doa, seruan dan
pesan-pesan.
Amalan menghormati murobbi dan pemimpin seperti ini
adalah cara hidup Islam yang sangat halus dan murni. Jika kita berjaya
menjadikan ia satu budaya dalam keluarga dan masyarakat, nescaya
hubungan sesama kita akan menjadi semakin erat dan berkasih sayang. Rasa
hormat terhadap pemimpin, ketua keluarga atau ketua organisasi kita
akan bertambah. Ahli keluarga dan organisasi pula akan merasa lebih
terpelihara dan dikasihi.
Ada banyak firman dan hadis yang berkaitan. Kami sertakan 2 firman berikut sekadar gambaran sahaja.
Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada
bersama-samanya dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka
tidak meninggalkannya sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya
orang-orang yang meminta izin kepadamu mereka itulah orang-orang yang
beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin
kepadamu karena sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu
kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. -
QS:24/62.
Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur balig, maka
hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka
meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. - QS:24/59
“Hai orang-orang
beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis",
maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan
apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah
akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui
apa yang kamu kerjakan.”- QS:58/11
***
Amalan mudah ini
adalah salah satu dari hidayah yang harus kita istiqomahkan untuk
mengecapi nikmatnya. Lama-kelamaan ia jadi cara hidup yang apabila tidak
dilakukan, kita akan rasa janggal dan marah.
Inilah falsafah di
sebalik ulangan FATIHAH yang kita baca 17 kali sehari. Itulah hidayah
yang kita pohon dari Allah untuk menambahkan nikmat kehidupan kita
apabila diistiqomahkan. IHDINA AS-SIROOT ALMUSTAQIIM. SIROOT ALLAZINA
AN’AMTA ALAIHIM.. GHOIRIL MAGHDHUBIALAIHIM (Hidayahkan kami
jalan/carahidup yang harus diistiqomahkan, Jalan orang yang telah Dikau
beri nikmat atas mereka. Bukan jalan orang yang dimurkai.)
Cuba
bayangkan anda suami isteri sedang berbual di bilik tidur. Kemudian
isteri minta izin keluar untuk ke dapur, tambah lagi dengan habit
bersalaman, menggenggam erat tangan suami sebelum pergi.
Mahu
indah lagi, isteri cium pula tangan suami dan kucup pipi. Kalau cumbu
mulut, jauh lebih indah lagi. Ini boleh dimeriahkan lagi dengan pelukan
erat dan suami pula macam berat-berat nak lepaskan tangan atau dakapan
isteri yang mahu ke dapur… sempat pula pesan kopi panas dan biskut.. dan
begitulah seterusnya… nikmat dan indah bukan?
Bila nanti ada
sedikit krisis kecil yang biasanya boleh disembunyikan, lalu amalan
mudah itu tidak berjalan, anda sudah tahu masing masing ada masalah,
lalu masing-masing boleh cepat-cepat cari penyelesaiannya. Jika ini
tidak di amalkan, kita sering tidak perasan, atau sering dengan sengaja
menyembunyikan masalah. Tiba-tiba saja ia sudah jadi peperangan bahkan
sampai ke peringkat MAHKAMAH SYARIAH.
Tidakkah itu langkah ke neraka namanya?
Selamat beramal.
(Kredit Kudap hujung minggu
WARGA PRIHATIN)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan