Pageviews

Rabu, 13 November 2013

Buat RENUNGAN....

Alkisah kain untuk ustaz.

Bahari sudah seminggu tidak call ustaz Ismail. Jarang Bahari bersikap demikian. Biasanya dalam seminggu sekurang-kurangnya pun ada sms ataupun whatsapp.

Minggu ini sunyi. Ustaz Ismail berasa pelik, tapi terus bersangka baik mungkin Bahari sibuk.

3 minggu berlalu, masih tiada sebarang berita daripada Bahari, anak murid kesayangannya.

Kali terakhir sekali, ustaz Ismail berjumpa dengan Bahari tiga minggu lalu selepas Bahari pulang dari luar negara. Diberinya satu kain yang cantik kepada ustaz Ismail untuk dibuat jubah.

Ustaz Ismail cuba sms Bahari. SMSnya tidak dibalas. Mungkin Bahari betul-betul sibuk.

Selepas itu Ustaz Ismail bergegas ke masjid untuk solat Maghrib. Dijumpanya pakcik Hamdi yang sudah berusia 85 tahun. Pakcik Hamdi memakai jubahnya yang baru, jubah yang dibuat daripada kain yang dihadiahkan Bahari.

“Kalau anak murid saya tahu kain yang dia beri saya sudah menjadi jubah cantik untuk pakcik, mesti dia sangat gembira. Pahalanya sudah dipanjangkan,” kata ustaz Ismail pada pakcik Hamdi.

6 minggu berlalu tanpa sebarang berita dari Bahari. Ustaz Ismail menjadi sangat bimbang kerana jarang Bahari bersikap seperti itu. Ustaz Ismail bergegas memandu kereta seorang diri 10 jam ke arah selatan mencari Bahari di rumahnya.

Bahari terkejut melihat ustaz Ismail berdiri di depan rumah lalu menjemputnya masuk.

“Mengapa lama tak cari pakcik?” tanya ustaz Ismail. “Call dan SMS tak jawab. Anta ditimpa kemalangan ke atau apa? Ke keluarga ada masalah? Ke ada masalah duit?”

Pertanyaan ustaz Ismail menyebabkan Bahari terharu kerana ustaznya cukup mengambil berat pasalnya.

Namun Bahari malu menyatakan hal sebenar. Setelah didesak beberapa kali oleh ustaz Ismail…

“Maaf ustaz. Ana sebenarnya marah melihat ustaz tak sayang benda yang diberi ana. Ana susah payah membeli kain yang baik untuk ustaz dari luar negara, ustaz berikan pada pakcik tua. Ana terluka hati dengan tindakan itu,” jelas Bahari.

“Wahai anakku, mengapa anta fikir begitu? Pakcik cuma tidak mahu kain itu dibazirkan kerana pakcik dah ada banyak jubah. Disebabkan pakcik sangat sayang pada kain itu, pakcik dermakan pada pakcik Hamdi, orang yang pakcik paling hormati di kampung.

Cuba kamu fikir jikalau Bahari datang lain kali, kain itu sudah berdebu tidak digunakan, sudah tentu Bahari rasa lagi terkilan kerana pakcik tak jaga kain itu.

Wahai anakku, ingatlah apabila kamu memberi sesuatu, kamu mesti membuatnya atas dasar mengumpul pahala. Orang yang menerima benda itu, kamu kena terima mereka boleh berbuat apa sahaja.

Jika mereka gunakan untuk kebaikan, pahala itu akan dipanjangkan kepada kamu,” terang ustaz Ismail kepada Bahari.

Mendengar penjelasan ustaz Ismail, Bahari terus memeluk ustaz Ismail dan memohon maaf.

Semenjak hari itu, hubungan mereka bukan sahaja pulih malah bertambah erat.

Senyum cc: Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan