Pageviews

Isnin, 10 Jun 2013

Sya'ban hadir lagi

Sya'ban 1434 telah hadir. Alhamdulillah, syukur atas keizinanNYA, selagi lagi diri ini dapat bersua kembali dengan Sya'ban 1434. Hadirnya dengan bersama zuriat yang kedua. Penuh dengan cahaya kegembiraan. Hadirnya Sya'ban dengan hadirnya An-Nisaa Humayra. Setelah Rejab 1434 berlalu pergi. Setelah peristiwa anugerah solat telah berlangsung. Kini tiba pula saat pertukaran buku amalan. Setelah 222 hari berlalu bermula dari Muharam 1434, pelbagai rencam, asaam garam kehidupan telah kita lalui.
Ada suka ada duka. Ada sedih ada gembira. Ada dosa ada pahala. Ada kebaikan ada kejahatan. Ada kerajinan ada kemalasan. Semua telah kita lalui tanpa sedar @ sedar. Setiap perlakuan kita telah dicatit oleh Malaikat Raqib & Atid tanpa sedikit pun ketinggalan. Baik perkara maksiat mahupun kebaikan. Samada buku disebelah kanan penuh @ yang kiri berat dengan timbangan. Kita sendiri yang perlu muhasabah kembali, apa yang telah kita lalui sepanjang tahun ini. masih belum terlambat untuk kita memohon keampunan kepada Yang Empunya Dunia. Masih belum terlambat selagi roh tidak berada di halkum. Masih belum terlambat selagi matahari tidak terbit dari barat.
Mohonlah keampunan. Banyakkan beristighfar. Selalulah berselawat. Moga dengan amalan kita yang sedikit ini tetapi istiqomah  dapat membantu kita dijauhkan dari api Neraka Allah. Jika dapat, perbanyakkan berpuasa pada bulan yang penuh keberkatan ini. Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Rejab itu adalah bulan Allah. Sya'ban itu adalah bulanku & Ramadhan itu adalah bulan umatku" (HR: Imam Bukhari & Muslim) 
Diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid, bahawa dia bertanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, aku tidak melihatmu berpuasa pada bulan-bulan yang lain seperti kamu berpuasa pada bulan Sya'ban. "Baginda menjawab: "Itu adalah bulan yang diabaikan oleh kebanyakkan orang, kerana bulan ini terletak antara Rejab dan Ramadhan. Dan itu adalah bulan dimana perbuatan & amalan manusia akan diangkat Tuhan semesta alam. Dan aku berasa senang bahawa amalku diangkat ketika aku berpuasa." (HR: Imam An-Nasaai)

Selain itu, Rasulullah SAW turut berpuasa pada setiap hari isnin dan khamis pada setiap minggu dan dalam beberapa hadis yang lain, Rasulullah SAW telah ditanya oleh Zaid Bin Usamah tentang rahsia yang terkandung dalam kedua-dua hari tersebut. Baginda menjawab: "Itu adalah dua hari yang diajukan padanya amal-amal kepada Tuhan Sekalian Alam dan aku berasa senang jika amalku diajukan ketika aku berpuasa." (HR: Imam Abu Daud)

Ada pepatah yang berbunyi: Perumpamaan bulan Rejab itu umpama waktu keluarnya daun. Bulan Sya'ban itu umpama keluarnya bunga dan bulan Ramadhan itu umpama buahnya.

Sesetengah ulama' menyatakan bahawa bulan Rejab itu adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada dosa. Manakala bulan Sya'ban adalah untuk memperbaiki diri dari maksiat dan bulan Ramadhan adalah masa untuk menyucikan hati & jiwa.

Hadirnya Sya'ban ini mengingatkan diri agar lebih memperbanyakkan amal. Mengingatkan diri untuk meningkatkan keimanan, menambahkan ketaqwaan, menyemarakkan jiwa kepada Ilahi. In shaa Allah. Mohon doa mendoakan agar diri kita tergolong didalam rahmat Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan